Berita

Mahathir kata Melayu hilang kuasa, Kit Siang cabar debat

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Lim Kit Siang hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa orang Melayu telah menjadi ‘pengemis’ di Malaysia.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai sampah, Ketua Parlimen DAP itu mempersoalkan sama ada Mahathir benar-benar percaya bahawa orang Melayu sedang diancam sedangkan pimpinan Melayu berkuasa terus-menerus sepanjang 57 tahun UMNO dan enam Perdana Menteri  memerintah.

“Mahathir kata Melayu hilang kuasa politik. Apakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri UMNO, ketua-ketua perkhidmatan awam, badan kehakiman, polis, angkatan tentera, setiausaha agung. ketua-ketua jabatan dan naib canselor universiti telah menjadi boneka kepada orang Cina?

“Hanya orang gila yang bersetuju dengan tuduhan begini dan sukar untuk difikirkan bagaimana Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun boleh percaya dengan ‘sampah’ sebegitu.

“Saya cabar Mahathir untuk berdebat secara terbuka tentang apakah orang Melayu telah kehilangan kuasa dan menjadi pengemis di negara sendiri selepas 57 tahun pemerintahan UMNO di bawah enam Perdana Menteri,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Mahathir semalam dilaporkan sebagai berkata bahawa parti-parti dominasi Melayu seperti UMNO, PKR dan PAS terpaksa meminta sokongan dari DAP untuk memenangi PRU yang disifatkannya sebagai Melayu menjadi pengemis.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dakwaan Mahathir tersebut jelas tidak benar sama sekali kerana hampir semua jawatan dari Perdana Menteri kepada Peguam Negara, polis, tentera dan Naib Canselor Universiti awam diterajui oleh orang Melayu.

Namun dalam kekuasaan Melayu itu, wujud masalah yang diakui sendiri oleh kalangan pentadbir negara.

Kit Siang memetik lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, yang melaporkan pendedahan Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Norzam Mohd Noor bahawa kira-kira 60 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi kerajaan dan badan berkanun masih kurang memahami tanggungjawab sebenar mereka dan tidak tahu apa yang mereka lakukan.

“Apakah masalah ini salah orang Cina di Malaysia?” soal beliau.

Beliau turut mengutuk sikap Mahathir yang berdiam diri dengan tindak-tanduk ganas dan bahaya kumpulan ekstremis Melayu Perkasa, membayangkan sokongan Mahathir kepada aksi politik ganas.

Jumat lalu, kumpulan Perkasa yang telah berdemonstrasi di Pulau Pinang telah menghina Ketua Menteri Pulau Pinang dengan melemparkan kata-kata kesat dan kurang ajar seperti “babi hutan” dan “babi suci” di samping mencerca Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dengan gelaran “pondan”.

Di Ipoh pula, kumpulan Perkasa turut bertindak ganas dengan merosakkan papan tanda Krismas serta menyerang Adun DAP Tebing Tinggi Ong Boon Piow di pejabatnya.

Kit Siang kesal kerana Mahathir hanya pandai bercakap tentang pelbagai hal tetapi takut untuk mengutuk Perkasa atas perbuatan ahli-ahli kumpulan pelampau itu yang bertindak ganas dan kurang ajar.

Tambahnya, amat tidak wajar bagi seorang bekas Perdana Menteri bersekongkol dengan samseng dan kelakuan kurang ajar ahli-ahli Perkasa. – Roketkini.com