Berita

Zahid jangan sekadar kritik, tapi bertindak

IPOH, 22 DIS: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi diminta tidak sekadar mengkritik, tetapi bertindak terhadap anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang melakukan tindakan provokasi termasuk merentap kain rentang ucapan Krismas dan tahun baru di hadapan ibu pejabat DAP Perak.

“Kritikan tidak mencukupi. Zahid perlu segera mengarahkan polis bertindak terhadap suspek,” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kula Segaran dalam satu kenyataan.

Malah kata Kula, sehingga kini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid yang kebiasaannya tidak pernah lewat bertindak balas terhadap pelbagai isu, perlu segera mengambil inisiatif mengarahkan polis mengambil tindakan.

Manakala dalam kejadian serupa Jumaat lalu, sekumpulan ahli Perkasa dalam himpunan di hadapan pejabat kerajaan Pulau Pinang mengambi kesempatan menghamburkan kata nista kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dengan perkataan termasuk ‘babi hutan’ dan ‘patut disingkirkan’.

Himpunan itu dikatakan berpunca dari kenyataan Guan Eng baru-baru ini bahawa orang bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah ‘Allah’.

Difahamkan, Perkasa Pulau Pinang membuat 25 laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’, dan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi memaklumkan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Ujar Kula, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana ‘penghinaan disengajakan dengan niat menggugat keamanan’.

Namun beliau ingin menarik perhatian bahawa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri sebelum ini turut pernah menyatakan bahawa orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak harus dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’.

Nazri dipetik dari laporan The Sun berkata, peraturan itu turut terpakai di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan kerana tidak ada enakmen negeri melarang penggunaannya.

‘Jadi, adakah polis akan menyiasat Nazri yang turut menyatakan fakta perundangan, seperti dilakukan Guan Eng? soal Kula. – Roketkini.com