Berita

Mula 2015 dengan jaminan Batu Sumpah dalam buku sejarah

KOTA KINABALU, 30 DIS: Kerajaan harus memasukkan ‘jaminan’ Batu Sumpah Keningau dalam buku Sejarah, kata Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong.

“DAP Sabah menggesa kerajaan memasukkan tiga jaminan tersebut dalam buku-buku sejarah supaya setiap rakyat menyedari kepentingannya.

“Tiga jaminan iaitu kebebasan beragama, tanah adat ditadbir kerajaan negeri dan tradisi penduduk negeri dipelihara serta dihormati Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2015, hari ini.

Dalam pada itu, Jimmy berkata kerajaan Sabah perlu menuntut bayaran royalti minyak negeri dinaikkan dari 5 peratus kepada 20 peratus.

Jelasnya, tuntutan royalti itu penting untuk pembangunan negeri terutama melibatkan infrastruktur asas yang sehingga kini masih tidak selesai.

“Tuntutan 20 peratus wajar dibuat supaya projek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan eletrik dan air dipercepatkan serta setaraf dengan negeri lain di Malaysia.

“Jika kemudahan asas sebegini tidak dilaksanakan, harapan kita untuk mencapai negara berpendapatan tinggi juga hanya tinggal mimpi, ” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu juga sekali lagi mengecam Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Sabah mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang langsung tidak memberi gambaran bagaimana Projek IC dijadikan alat meraih undi.

“Seperti semua rakyat negeri, saya tetap tidak berpuas hati dengan Laporan RCI yang menyatakan sejauh manakah tahap pengeluaran Projek IC di Sabah.

“Kerajaan harus bertindak tegas terhadap semua individu yang terlibat tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Dedahkan segala dokumen, siarkannya di akhbar, batalkan kewarganegaraan yang tidak sah dan keluarkan nama mereka dari daftar pemilih,” tegas Jimmy – Roketkini.com