Berita

Zahid Hamidi mengaku tak faham suratnya sendiri?

GELANG PATAH, 10 JAN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi gagal menjawab pertanyaan umum mengenai projek-projek keselamatan negara yang dinyatakan dalam suratnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan(FBI) berkaitan ‘Raja Judi’ Paul Phua.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya semalam berkata beliau hairan dengan tindak-tanduk Zahid Hamidi yang membelakangkan polis ketika mengutus surat ‘penjelasan’ kepada FBI tersebut.

“Kata Zahid surat tersebut diminta oleh firma guaman Chesnoff & Schonfeld, mewakili Phua yang ditangkap kerana dituduh melakukan perjudian haram di Las Vegas.

“Pada awalnya, surat Zahid bukan sahaja mengesahkan kongsi gelap 14K tidak wujud di Malaysia, kerana beliau menjamin Phua sebagai seorang yang baik, telah membantu kerajaan Malaysia dan aset nasional apabila memohon supaya beliau dibebaskan.

“Beliau memohon Phua dibebaskan ketika menulis bahawa Phua membantu kerajaan Malaysia dalam projek-projek melibatkan keselamatan negara, dan kerajaan terus memanggilnya untuk mendapatkan bantuan dari masa ke masa,” jelas Kit Siang.

Zahid sebelum ini mengatakan adalah tugas Menteri Dalam Negeri untuk menjelaskan bahawa tidak ada ‘Kongsi Gelap 14K’ di Malaysia dan bertanggungjawab membetulkan ‘fakta’ polis dalam laporan mereka.

Ujar Kit Siang langkah itu tindakan tidak berhati-hati dan menggadai reputasi Malaysia di mata antarabangsa, kerana menulis pengakuan atas kapasiti menteri, sedangkan ia adalah tugas polis bukannya Kementerian Dalam Negeri.

“Apa yang jelas ialah pihak polis langsung tidak mengiyakan perbuatan Zahid itu, kerana Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengelak daripada memberi komen mengenai surat Zahid.

“Sejak itu Zahid telah berdiam diri dan tidak menjawab soalan mengenai projek keselamatan negara yang mana telah dibantu oleh Phua dahulu.

“Dan apa pula projek keselamatan negara yang baru sedang difikirkan oleh Zahid yang membuatkannya menulis bahawa kerajaan terus meminta bantuan Phua dari masa ke masa?

“Bolehkah KPN mengesahkan bahawa polis benar-benar teruja mahu Phua pulang ke tanah air bagi membantu projek keselamatan negara ini – atau, sama ada pihak polis maklum tentang sebarang projek keselamatan negara dengan bantuan Phua, atau sama ada projek itu hanya diketahui Zahid sahaja? soal Kit Siang.

Tambah Ahli Parlimen itu, apakah Zahid mengaku bahawa beliau sebenarnya tidak faham makna suratnya kepada FBI

“Jika demikian, siapakah penulis sebenar surat tersebut?

“Semua mata bukan sahaja memandang Zahid, tetapi juga melihat bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani skandal pertama dalam pentadbirannya bagi tahun ini.

“Atau Najib akan melakukan apa yang selalunya beliau lakukan dalam keadaan begini dengan buat tidak tahu sahaja.” sindir Kit Siang. – Roketkini.com