Rencana

Ke mana hikmah institusi agama?

Menegur pengurusan institusi agama adalah satu perkara yang taboo dalam masyarakat Melayu-Islam. Tambah buruk akhir-akhir ini telah wujud satu rekayasa yang mengklasifikasikannya sebagai menghina Islam.

Orang Melayu Islam tidak perlu menjadi begitu naif. Kritikan atau teguran itu dilontar supaya pengurusan institusi agama itu dapat melihat kelemahan dan kesilapan mereka. Kita bukan menghina agama kita tetapi kita mahu kelemahan ini diperbaiki.

Sementara itu, pihak institusi agama ini janganlah sewenangnya melabelkan teguran dan kritikan sebagai agenda liberal, pluralism dan kristianisasi. Sebaliknya ambil sikap berlapang dada dan terbuka untuk menerima teguran dan kritikan.

Islam menganjurkan teguran diberi dalam keadaan tertutup, namun apabila tindakan yang diambil bersifat ‘double standard’ dan kemudiannya menutup semua ruang perbincangan ilmiah, maka akan kedengaranlah suara-suara di media sosial mempersoalkan institusi ini.

Sebagai contoh dalam kes gadis K-Pop baru-baru ini, penguatkuasa agama begitu cekap dalam mengikuti suruhan Amal Makruf Nahi Mungkar, tetapi membisu seribu bahasa apabila VIP melakukannya. Tidakkah kamu memahami maksud ‘menjual agama’ di dalam ayat 9 surah at-Taubah?

Tafsir Jalalain, Tafsir al-Qurtubi dan Tafsir Ibn Kathir telah merujuk ungkapan menjual agama itu kepada kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menghalalkan yang haram demi menjaga gaji, status dan kedudukan mereka.

Memutarbelitkan kebenaran kerana mempertahankan kebatilan, dan kumpulan ahli agama atau mana-mana umat Islam yang menyembunyikan kebenaran daripada disampaikan kerana menjaga pangkat dan kedudukan mereka atau mencari keredaan majikan atau pemerintah.

Tidak mungkin kamu tidak mengetahui perkara ini dan mengapa kamu hanya mengambil tindakan terpilih, hanya Allah dan diri kamu sahaja yang tahu. Tidak mungkin dosa kemungkaran itu hanya terpakai kepada rakyat biasa bukannya selebriti atau mereka yang berkuasa.

Begitu juga dalam urusan agihan bantuan zakat dan sebagainya, kerenah birokrasi dan prosedur yang sulit hingga kadangkala menyusahkan pemohon. Apa kita tidak boleh menegur perkara ini?

Komentar orang bukan Islam terhadap institusi-institusi ini juga jangan ditempuhi dengan sikap ego, tuduh menuduh dan berselindung di sebalik akta drakonian. Hadapinya dengan hikmah perbahasan yang akhirnya akan menunjukkan ketinggian akal ilmuwan Islam dan juga syiar Islam.

Ancaman, intimidasi, ugutan, label-melabel, berselindung di sebalik akta drakonian tidak akan membawa watak baik kepada Islam. Sebaliknya akan terus menghakis imej Rahmatan Lil ‘Alamin.

Sudah sampainya masanya orang Islam di Malaysia membuka kotak pandora. Berhadapan dengan kelambu taboo ini yang sering bermain dalam kehidupan kita. Kita ingin maju ke depan. Kita ingin Islam dipandang tinggi.

Teguran dan kritikan tidak akan mencacatkan. Tiada ruginya kita tidak berwatak Holier-Than-Thou. Tiada ruginya kita berhujah dan berbahas secara hikmah.

Resmi manusia kita jarang dapat melihat kelemahan dan kesilapan sendiri. Teguran dan kritikan dari orang lain sebenarnya adalah kunci untuk kita menjadi lebih baik.

Mana mungkin kita menjadi seorang pemimpin jika kita tidak mampu berinteraksi untuk membuktikan Islam itu adil untuk semua dan rahmat buat sekalian alam.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pendidikan Politik
DAPSY Muar