Berita

KIDEX tak beri sebarang faedah kepada penduduk Petaling Jaya

PETALING JAYA, 29 JAN: Kajian badan profesional bebas membuktikan projek lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) tidak akan memberi sebarang manfaat kepada penduduk Petaling Jaya.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.berkata, bukti tersebut menunjukkan pemegang konsesi lebuhraya melanggar salah satu dari tiga syarat ditetapkan kerajaan Selangor.

Difahamkan, laporan tersebut turut mendedahkan cubaan menjustifikasikan pembinaan KIDEX kononnya bagi mengurangkan tahap kesesakan.

“Berdasarkan laporan, KIDEX bakal mengakibatkan kesesakan teruk pada masa akan datang di jalan utama Petaling Jaya seperti Jalan Utara, Jalan Timur dan Jalan Semangat

“Berdasarkan kiraan trafik disediakan KIDEX, laporan bebas menekankan bahawa lebuhraya menjadi jalan pintas untuk kenderaan dari Utara dan Selatan bandar, bukannya jalan yang akan digunakan untuk kemudahan penduduk Petaling Jaya.

“Selaku jalan pintas seharusnya ia berada di sekeliling Petaling Jaya, bukannya memotong di tengah-tengah Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

September lalu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melantik Perunding dan Perancang Trafik MDS untuk menilai kesan trafik, kajian destinasi asal, analisa kos faedah dan beberapa aspek berhubung cadangan pembinaan KIDEX.

Laporan kajian bebas tersebut akan mula dimuatnaik ke laman web MBPJ Februari nanti.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali sebelum bersetuju menetapkan tarikh akhir 15 Februari kepada KIDEX untuk memenuhi syarat-syarat yang diberikan.

Namun, sehingga kini syarat-syarat itu masih tidak dipatuhi.

“Dalam masa 16 hari lagi, saya yakin kerajaan Selangor akan melakukan perkara mudah iaitu menolak cadangan KIDEX,” tegas Rajiv. – Roketkini.com