Berita

DAPSY bertekad teruskan perjuangan tegakkan keadilan

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Biarpun kerajaan zalim UMNO-BN telah berjaya dalam misi mereka memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ia bukan satu pengakhiran bagi perjuangan untuk menegakkan keadilan dan melakukan reformasi, kata Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong.

Teo berkata, perjuangan menegakkan keadilan tetap akan diteruskan sehingga kerajaan zalim UMNO-BN dapat ditumbangkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat untuk bangkit melakukan reformasi dengan memilih kerajaan baru dalam pilihanraya akan datang agar nasib mereka dapat diubah dari pemerintahan kotor kerajaan sedia ada.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes beliau begitu mengejutkan bukan saja kepada rakyat Malaysia malah seluruh dunia yang mengikuti perbicaraan bermotif politik itu.

“DAPSY berasa amat kecewa dengan keputusan para hakim. Kami bertekad akan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan menerajui gerakan reformasi rakyat hingga mencapai kemenangan menumbangkan BN yang korup serta kotor ini.

“Kami mahu membina politik dan demokrasi matang, bukan politik murahan yang berunsur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah turut berharap semoga keluarga Anwar tabah dan cekal hati menghadapi detik yang amat sukar ini.

“Kami rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) akan terus berdiri teguh bersama keluarga anda serta calon pilihan kami sebagai Perdana Menteri iaitu Anwar Ibrahim, ” tegasnya.

Anwar yang menerajui gabungan PR dan mendapat undi popular 52 peratus buat pertama kalinya pada Pilihanraya Umum (PRU) tahun 2013 semalam telah disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu

Penghakiman itu dibacakan oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Dengan keputusan tersebut, Anwar boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dihukum penjara lebih daripada dua tahun atau didenda lebih RM2,000. -Roketkini.com