Berita

Gesaan pecat Gani Patail harus dapat perhatian Najib

GELANG PATAH, 17 FEB: Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri memandang serius dakwaan bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim mengatakan Peguam Negara Abdul Gani Patail telah melanggar Perintah Menyiasat (OTI) terhadap pendakwa Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah.

OTI ke atas Shafee Abdullah yang juga pendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didedahkan Mat Zain yang sekaligus membuat laporan polis ke atas peguam Saiful Bukhari itu pada 7 Februari lalu. OTI itu sepatutnya tidak melayakkan beliau menjadi pendakwa dalam kes Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat.

Namun, menurut Mat Zain, Gani Patail tidak menghiraukan OTI tersebut dan mengambil tindakan yang melanggar undang-undang dengan melantik Shafee dalam pendakwaan liwat Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Kit Siang mengatakan Mat Zain juga menggesa Najib untuk bertindak pro aktif bagi memastikan Gani disoal siasat dalam satu tribunal bagi menilai tindakan menurutnya adalah salah guna kuasa.

“Mat Zain kata Najib harus mengadakan satu tribunal untuk menggugurkan Gani dari jawatan Peguam Negara kerana tidak menghiraukan OTI ke atas Shafee itu, sedangkan dia sendiri menandatanganinya.

“Menurut beliau lagi maklumat tentang OTI itu diketahui pada 19 Mei 2014 apabila polis memanggil Shafee di Putrajaya untuk mendapatkan kenyataan Shafee berhubung tiga laporan polis yang Shafee buat pada Disember lepas,” jelas Kit Siang.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga menambah dakwaan ke atas Shafee tersebut adalah serius dan harus diambil tindakan sewajarnya oleh Najib.

Ia bagi menyelamatkan sistem perundangan Malaysia yang dilihat sudah hilang kredibiliti di mata antarabangsa katanya lagi.

“Dakwaan Mat Zain ini adalah perkara serius dan tidak boleh dihiraukan oleh Najib.

“Adakah Najib akan duduk berdiam diri seperti biasa sedangkan kepercayaan nasional dan antarabangsa terhadap sistem kehakiman kita dan keluhuran undang-undang berada dalam krisis besar?”Soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.-Roketkini.com