Berita

Wakil rakyat Pakatan cukur depan Parlimen protes pemenjaraan Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sebanyak 15 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat mencukur rambut di pintu masuk Parlimen hari ini sebagai tanda protes terhadap penahanan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Jimmy Wong memberitahu pemberita tindakannya itu adalah tanda setiakawan kepada Anwar Ibrahim.

Beliau bersama Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh Dr Nik Mazian dan juga Adun PKR Machang Bubuk Lee Khai Loon memulakan acara mencukur itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Menurut Jimmy, selain membantah kebejatan sistem kehakiman berikutan penahanan politik Anwar Ibrahim, beliau turut membotakkan kepala kerana isu pendatang tanpa izin di Sabah yang masih tidak selesai sehingga ke hari ini.

“Saya cukur setengah rambut saya untuk Anwar Ibrahim.

“Dan setengah lagi (tanda protes) saya terhadap isu pendatang tanpa izin di Sabah. Bebaskan Sabah dari pendatang tanpa izin,” seru beliau.

Dalam pada itu Nik Mazian dari PAS pula mengatakan dia tidak percaya tuduhan ke atas Anwar Ibrahim.

“Saya sendiri tidak yakin Anwar Ibrahim mampu melakukan jenayah yang tidak dapat dibuktikan.

“Kita harus bebaskan sistem perundangan,” kata beliau. -Roketkini.com