Berita

Parlimen Malaysia pilih kasih, tidak mesra pembangkang

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan Parlimen yang menolak pertanyaan mengenai saksi utama kes Fitnah II, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang tidak didakwa walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau pernah menyertai perlakuan liwat.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah salam satu suratnya kepada Lip Eng menyatakan, soalan tersebut tidak dapat diterima kerana mengandungi dua pertanyaan berlainan atau gabungan dua pertanyaan.

Lip Eng dalam pertanyaan lisannya meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan adakah tindakan terhadap pihak polis dalam kes penyanyi kumpulan pop Slam (Zamani) yang dipaksa menyanyi dalam keadaan bergari dan mengapa Saiful Bukhari tidak didakwa mengikut Seksyen 377A, 377B atau Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Ini satu lagi contoh dan bukti bagaimana Dewan Rakyat jelas langsung tidak mesra pemimpin pembangkang.

“Alasan penolakan tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana tahun lalu saya pernah bertanya dua soalan berlainan dalam satu pertanyaan dan ketika itu, ia diterima.

“Dulu boleh, sekarang tidak boleh. Apa ini?” soalnya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan turut memberikan contoh pertanyaan lisannya tahun lalu yang mengandungi dua soalan berlainan dalam satu pertanyaan iaitu pada 11 Mac dan 13 Mac 2014.

Dalam soalan bertarikh 11 Mac itu, Lip Eng meminta Menteri Dalam Negeri berhubung status laporan polis Ahli Parlimen Hulu Selangor yang ditumbuk seorang lelaki dan jumlah laporan polis diterima berhubung tawaran ganjaran sekumpulan NGO kepada mereka yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Manakala pada 13 Mac pula, beliau meminta jumlah laporan polis berhubung keterangan saksi serta status terkini demonstrasi kangkung yang menampilkan replika wajah Perdana Menteri, selain himpunan 3,000 orang di Pulau Pinang yang membawa banting ‘Mahu lagi 13 Mei’, awal tahun lalu. – Roketkini.com