Berita

DAP mohon kerajaan pertingkat mutu pendidikan negara

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Ketiadaan universiti di Malaysia dalam kedudukan terbaru Times Higher Education (THE) 2015 adalah bukti nyata bahawa universiti tempatan masih tidak dapat meyakinkan rakyat untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara, kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, biarpun soal kedudukan dalam senarai 100 universiti dunia bukanlah faktor penentu bagi mana-mana institusi pendidikan, tapi ia tidak boleh diabaikan.

“Cabaran utama untuk Idris Jusoh adalah untuk meningkatkan universiti tempatan ke tahap di mana pelajar-pelajar Malaysia yang berprestasi tinggi akan lebih memilih untuk belajar dalam negara dari pergi ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran mereka.”

“Idris tidak memerlukan ranking universiti untuk menyatakan bahawa universiti awam dan swasta tempatan kita adalah jauh dari bertaraf dunia serta hampir semua pelajar cemerlang lebih suka untuk belajar di universiti bertaraf dunia di luar negara bukannya dalam negara,” katanya.

Laporan kedudukan terbaru THE tahun ini langsung tidak menyenaraikan mana-mana universiti Malaysia dalam senarai 100 universiti terbaik dunia mahupun Asia.

“Selepas 50 tahun kewujudannya THE, tidak pernah ada satu pun universiti di Malaysia yang tersenarai dalam 100 universiti dunia,” ujarnya.

Kian Ming menyatakan, Idris tidak perlu mempertahankan ketiadaan universiti tempatan dalam kedudukan THE tapi berusaha untuk meningkatkan mutu penyelidikan dan pengajaran negara.

Pada 21 Februari lalu, Idris mengumumkan bahawa sistem pendidikan Malaysia kini sudah standing dengan negara-negara maju seperti United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi mutu pendidikan.

Beliau juga mendakwa ia terbukti oleh fakta bahawa 11 universiti awam dalam negara telah tersenarai antara 100 universiti di dunia dalam mata pelajaran tertentu. – Roketkini.com