Berita

SRC International, satu lagi syarikat bermasalah bakal dibongkar

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Selepas skandal hutang RM 42 bilion 1MDB, sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan SRC International bakal dibongkar umum, dedah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Kata Tony kepada pemberita di lobi parlimen, ini berikutan kesamaran situasi kerjasama 50-50 antara syarikat itu dengan sebuah lagi syarikat Mongolia , Gobi Coal & Energy Limited.

“Saya dah tanya dalam parlimen semalam adakah benar SRC International melabur dalam syarikat tenaga Mongolia dan meminta maklumat penuh tentang pelaburan dan status terkininya.

“Namun, apa yang saya dapat hari ini hanyalah jawapan yang kabur dan tidak berterus-terang,” katanya.

Menyifatkan SRC International sebagai syarikat misteri, beliau menyatakan kekesalannya kerana jawapan bertulis yang diterima tidak mengandungi maklumat penuh berhubung pelaburan dilakukan syarikat itu.

“Saya kesal dengan jawapan menteri kewangan hari ini dalam Dewan Rakyat.

“Saya risau, jawapan yang samar itu betul-betul seperti apa yang berlaku terhadap soalan-soalan saya tentang 1MDB lebih dari empat tahun lalu,” kata Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Tambah Tony, SRC International bukan sahaja tidak mempunyai akauntabiliti tentang maklumat pelaburannya di Mongolia yang didakwa mendapat keuntungan 50 peratus, malah turut seolah-olah menggunakan dana awam dalam urusan pelaburan tersebut.

“Lebih membimbangkan SRC International turut meminjam RM 4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang dijamin kerajaan pada 2011 dan 2012.

“Membuatkan lebih parah berhubung isu SRC International ialah, syarikat itu langsung tidak ada wakil dari Kementerian Kewangan, betul-betul sama seperti skandal 1MDB,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Tony mendesak agar Menteri Kewangan bersikap telus terhadap segala persoalan rakyat berkenaan syarikat milik kementerian itu..

“Kami minta Menteri Kewangan edarkan perjanjian kerjasama antara SRC International dan Gobi Coal & Energy Limited.

“Ketua Audit Negara juga harus bersikap pro-aktif untuk segera siasat syarikat misteri ini, seiring siasatan terhadap 1MDB.

“Malaysia sudah tidak boleh menghadapi skandal ekoran pentadbiran yang cuai dan korup terhadap institusi korporat kerajaannya.

“Kita tak mahu masyarakat antarabangsa jadikan Malaysia bahan ketawa oleh komuniti kewangan atas satu lagi kegagalan kerajaan,” tegas Tony. – Roketkini.com