Berita

Kit Siang mohon KPN berhenti main Twitter, banteras segera pengganas IS dalam negara

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya memberi tumpuan menahan kumpulan pengganas IS (Islamic State) yang semakin berkembang dalam negara, bukannya pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis, kata Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.

“Sementara KPN sibuk melawan bayang-bayang musuh dengan menyisir media sosial memberikan arahan melalui Twitter kepada anggotanya untuk mengganggu dan menyiasat pemimpin Pakatan dan aktivis, beliau secara tidak langsung membiarkan IS bebas merekrut bagi melanjutkan aktiviti ganas mereka.

“Adakah pihak polis mengetahui bilangan rakyat Malaysia yang telah terlepas daripada pemantauan mereka, termasuk yang meninggalkan negara untuk menyertai IS di Syria dan Iraq?” soalnya dalam ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jaminan kepada rakyat bahawa ancaman IS terkawal.

Zahid mendakwa kumpulan militant itu tidak akan berjaya di Malaysia kerana pihak berkuasa tidak akan membenarkan mereka bertapak di Malaysia.

Pada Ogos tahun lalu pula, polis menyatakan, antara Januari dan Jun pihaknya telah menahan 19 individu termasuk dua orang wanita kerana terlibat dalam aktiviti militan.

Bagaimanapun, menjelang penghujung Januari tahun ini, sokongan bagi pengganas IS kian meningkat apabila 120 orang yang menyokong mereka telah ditahan di Tapah dan Bentong.

120 orang ini terpaksa ditahan dalam sel khas bagi menghalang mereka dari menyebarkan ideologi dan melatih individu lain untuk menjadi pengganas.

Bulan lalu, Zahid menyatakan pula bahawa kegiatan IS begitu tersusun di Malaysia sehingga ia boleh berkomplot untuk menculik hartawan dan melakukan rompakan bank bagi mendapatkan dana.

Pendedahan terbaru seterusnya mendedahkan bahawa IS telah mendapat kelebihan baru dalam struktur dan organisasinya dengan penangkapan seorang penjawat awam yang merupakan anggota kanan mereka.

Tegas Kit Siang, semua pendedahan tersebut merupakan bukti bahawa pihak polis telah gagal untuk membanteras IS dari melebarkan jaringan pengganasnya di negara ini.

“Apa yang paling memalukan bagi seluruh rakyat ialah kegagalan dan prestasi menyedihkan polis dalam memastikan keselamatan negara terjadi ketika KPN sedang bersenang-senang bermain Twitter serta mengganggu pemimpin PR termasuk aktivis yang sedang melaksanakan hak mereka.

“KPN seharusnya lebih profesional dan berhenti bermain Twitter serta mengganggu pemimpin PR, aktivis, malah kartunis seperti Zunar, dan menumpukan kepada ancaman keselamatan oleh IS di Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com