Berita

Sibuk gubal akta zalim, kerajaan lupa warta undang-undang bela nasib rakyat

KLUANG, 10 APR: Parlimen adalah tempat di mana undang-undang yang menjamin hak dan kesejahteraan rakyat digubal, dan bukannya tempat membuat undang-undang zalim seperti Akta Pencegahan Keganasan (POTA) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas – SOSMA)

Exco DAPSY Tan Hong Pin dalam satu kenyataan berkata, kerajaan terlupa meletakkan keutamaan rakyat dalam langkah menggubal dan meminda undang-undang apabila mengabaikan RUU Air Minum Yang Selamat yang sudah bertahun-tahun dibincangkan.

“Tugas memantau kualiti air minum yang dibekalkan kepada pengguna diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan.

“Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan telah lama dibuat berdasarkan Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Akan tetapi, buat masa sekarang apabila syarikat pembekal air gagal mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan, tiada apa-apa undang-undang yang boleh digunapakai untuk memdakwa mereka yang bersalah dan bertanggungjawab di Makhamah,” kata Hong Pin dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk masalah dihadapi penduduk di daerah Kluang yang terpaksa menggunakan air paip yang keruh, berbau dan pada suatu ketika turut bercacing.

“Sepanjang tempoh dua tahun saya bekerja sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Mengkibol, Johor, aduan tentang kualiti air minum diterima setiap minggu.

“Kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada air mentah, manakala untuk air terawat dan air minuman, kuasa membuat undang-undang dan penguatkuasaan adalah pada Kerajaan Persekutuan.

“Cadangan untuk menggubal Akta Air Minum yang Selamat sudah lama dibincang. Contohnya, pada Jun 1, 2006, kerajaan telah mengenalpasti keperluan dan kajian dijalankan oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Kandungan cadangan yang dirujuk Hong Pin menyatakan suatu akta khusus bagi menjamin kualiti dan keselamatan air yang dibekalkan kepada pengguna, sekali gus mengelak kejadian bekalan air berlumpur atau berbau akan digubal.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Shaziman Abu Manso berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan sudah mengkaji dan memahami keperluan diwujudkan akta bagi menjamin bekalan air minum yang bersih dan selamat.

Manakala pada Disember 2013, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan seranta awam atas talian untuk RUU Akta Air Minum Yang Selamat di laman web (http://www2.moh.gov.my/news/2251).

Menurut Hong Pin, perkara ini telaj dibawa ke Dewan Rakyat pada persidangan 27 Oktober 2014 oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Manakala pada Jun 2014, beliau dimaklumkan oleh seorang pengarah di Kementerian Kesihatan bahawa draf RUU Air Minuman Yang Selamat tersebut telahpun siap dirangka dan pada masa itu berada di Jabatan Peguam Negara.

“Jadi apakah sebab rang undang-undang tersebut masih dilengah-lengahkan lagi?

“Saya menggesa Menteri Kesihatan S. Subramaniam dan Peguam Negara Abdul Ghani Patail memberi keutamaan kepada akta yang menjamin kesihatan dan hak jutaan rakyat Malaysia.

“RUU Akta Air Minuman Yang Bersih harus dibentang dan dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang bermula 18 Mei 2015,” tegas Hong Pin. – Roketkini.com