Berita

Pulau Pinang lulus peruntukan RM1.2 juta untuk pelajar kurang berkemampuan

PERMATANG PAUH, 27 APRIL: Atas dasar keprihatinan dan menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan lebih RM1.2 juta untuk disumbangkan sebagai pemberian biasiswa kepada 1,591 orang pelajar disana.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pemberian biasiswa tersebut melibatkan seramai 447 orang dari 27 buah sekolah di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan 183 orang bagi 17 sekolah di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula seramai 397 orang dari 29 buah sekolah manakala di kawasan Permatang Pauh seramai 175 orang terdiri daripada 14 buah sekolah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Dewan An-Nahdhoh, Kubang Semang, semalam.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar Biasiswa Kecil Negeri itu sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2009 dan 2013.

Jelasnya, kenaikan kali pertama yang dibuat pada 2009 melibatkan peningkatan sebanyak seratus peratus iaitu dari RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah manakala RM360 sehingga RM720 bagi pelajar menengah atas.

“Dengan pemberian biasiswa ini, diharap dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa semua terutama kepada yang kurang berkemampuan.

“Sumbangan yang disampaikan ini adalah atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan rakyat,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Menurut Guan Eng lagi, selain Biasiswa Kecil Negeri, pihaknya juga turut meneruskan kemasyarakatan lain seperti Penghargaan Warga Emas, Bantuan Ibu Tunggal, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), Anak Emas dan Skim Pelajar Emas.

“Semua ini dapat dilaksana kerana Kerajaan Negeri menjalankan urustadbir bersih CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang membolehkan lebihan Belanjawan atau keuntungan dicatat setiap tahun,” katanya.

Di antara tahun 2008 hingga 2013, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat telah mencatat lebihan Belanjawan sebanyak RM453 juta berbanding RM373 juta kerajaan sebelumnya sepanjang tempoh 50 tahun. – Roketkini.com