Berita

Apa kata JAKIM tentang ‘kit histeria’ UMP?

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Di saat universiti serata dunia menyibukkan diri dengan penemuan-penemuan saintifik, universiti tempatan memilih untuk menjual perkakas dapur dengan harga tinggi, dengan alasan ia mampu memerangi makhluk halus.

Demikian kenyataan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng ketika mempersoalkan keberkesanan kit histeria keluaran Universiti Malaysia Pahang yang harganya mencecah RM 8,750 tersebut.

Beliau malah turut ingin tahu adakah kit tersebut patuh syariah menerusi garis panduan yang ditetapkan JAKIM.

“Saya teringin nak tahu sama ada kit histeria ini telah diluluskan badan pengawal selia agama Islam di Malaysia, JAKIM. Alangkah baiknya jika pihak JAKIM boleh menguji keberkesanan kit ini dan mengiktiraf kepatuhan kit tersebut dari segi syariah.

“Saya teringin juga mahu tahu apa metodologi yang akan digunakan JAKIM bagi mengesahkan keberkesanan kit histeria tersebut. Pastinya pihak UMP turut boleh memberikan panduan kepada pihak JAKIM mengenai bagaimana pihak universiti tersebut menguji kit mereka secara empirikal, sesuai dengan peranan UMP sebagai sebuah institusi akademik,” ujar Lip Eng lagi.

Dalam masa yang sama Lip Eng turut menggesa tindakan tegas diambol oleh pihak kerajaan sekiranya kit yang mengandungi bahan-bahan dapur seperti penyepit, garam, limau, cuka, lada dan asid formik itu tidak dapat dibuktikan berkesan secara empirikal dan sekadar tipu daya belaka.

“Sedikit hari lagi, barangkali bomoh kelapa pun akan turut dianugerahkan ijazah doktor kehormat oleh UMP,” ujar Lip Eng sinis. – Roketkini.com