Berita

Masanya sudah tiba untuk wujudkan daftar pesalah jenayah seksual

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan daftar pesalah jenayah seksual bagi mengawal aktiviti dan menghalang mereka daripada bebas bergerak.

Ini berikutan wujud cadangan untuk memberi peluang kedua kepada seorang mahasiswa Malaysia di London yang disabitkan kesalahan memiliki lebih dari 30,000 bahan pornografi kanak-kanak termasuklah gambar perlakuan seks melampau dengan kanak-kanak.

Menurut Zairil, beliau tidak membantah sebarang usaha untuk memulihkan mana-mana pesalah seks dan adalah wajar untuk memberi semua orang peluang kedua. Namun katanya harus ada mekanisme untuk memastikan pesalah-pesalah seks dapat dikawal dan dihialang daripada mengulangi kesalahan mereka.

“Di kebanyakan negara, mekanisme daftar pesalah seks ini mmembolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan pesalah, bergantung kepada kesalahannya dan risiko ia berulang kembali,”

“Halangan ini termasuklah akses terhad bagi lokasi seperti sekolah, pusat jagaan kanak-kanak, halangan daripada terlibat dengan golongan bawah umur dan juga halangan penggunaan internet,” jelas Zairil.

Kesalahan seksual semakin menimbulkan kebimbangan akhir-akhir ini setelah Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin mendedahkan statistik bahawa setiap 35 minit, seorang wanita dirogol di Malaysia.

Sebelum ini negara telah dikejutkan dengan kes kematian Nurin Jazlin dan Nurul Nadirah Abdullah masing-masing berumur 8 dan 10 tahun yang ditemui mati setelah dirogol. Pembunuh Nurin masih lagi bebas manakala pembunuh Nadirah atau lebih dikenali sebagai Dirang berjaya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. – Roketkini.com