Berita

Siapa beri kelulusan transaksi tanah 1MDB-Tabung Haji?

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mendedahkan menteri manakah yang telah memberi kelulusan perjanjian tanah Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan 1MDB, jika benar beliau mahu menangani masalah tersebut, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata demikian merujuk kepada laporan Jumaat lalu yang mengatakan bahawa Najib tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam permasalahan besar ini.

“Najib tidak boleh terus berdiam diri dalam skandal RM42 bilion 1MDB dan menjelaskan peranannya dalam kemelut 1MDB-LTH, khususnya sama ada beliau telah meluluskan atau mengarahkan LTH dalam perjanjian tanah dengan 1MDB.

“1MDB empat tahun lalu telah membeli tanah itu dengan harga RM64 satu kaki persegi dan menjualnya 43 kali dari nilai diperoleh iaitu pada RM2,773 satu kaki persegi.

“Jika Najib tidak meluluskan perjanjian tanah LTH dengan 1MDB, maka beliau perlu mendedahkan menteri manakah yang telah memberi kelulusan dan apakah sebabnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, Najib tidak boleh berdiam diri sedangkan sepupunya sendiri Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Afdal telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai kredibiliti kerajaan.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, apakah Najib akan mencadangkan kepada 1MDB untuk menamatkan transaksi tanah dengan LTH dan membayar balik bayaran dibuat LTH berikutan 1MDB tidak mematuhi semua syarat-syarat jualan?” soalnya.

Menurut Kit Siang lagi, kini sudah lebih dua bulan sejak Najib mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menyiasat akaun 1MDB tapi langsung tidak ada perkembangan mengenainya.

“Adakah Ketua Audit Negara sekurang-kurang akan membentangkan laporan interim audit akaun 1MDB kepada Parlimen apabila ia bersidang 18 Mei nanti?” soal beliau. – Roketkini.com
jual beli