Berita

“Penswastaan tak bererti jika kontraktor guna aset Majlis Daerah Semporna”

TAWAU, 13 MEI: ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin hari ini mendesak Majlis Daerah Semporna (MDS) menjelaskan alasan pihak berkuasa tempatan itu mengizinkan kenderaan mereka digunakan kontraktor swasta bagi tujuan kutipan sampah.

“Jika kontraktor swasta boleh guna kenderaan majlis daerah, apa guna beri kontrak kutipan sampah kepada syarikat swasta tersebut? kata Foong Hin dalam satu kenyataan.

Ujar Foong Hin, beliau telah menyiasat tindakan MDS itu setelah menerima banyak aduan dari penduduk Semporna.

Menurut Foong Hin, sistem kontrak yang digunapakai kerajaan negeri mengehendaki semua syarikat kutipan sampah menyediakan kenderaan mereka sendiri, antaranya lori pemadat, jentolak dan jentera penggali.

Naib Pengerusi DAP Sabah itu turut mempersoalkan layanan ‘istimewa’ yang diberikan sekaligus mendesak jawapan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan kerana salah laku sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

“Semporna adalah pusat tarikan pelancong. Kutipan sampah adalah penting untuk menjaga kebersihan bandar sekaligus memberikan imej yang baik kepada orang asing.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana salah laku di sana.

“Mengapa syarikat ini begitu istimewa sehingga mendapat layanan, sekalipun melanggar syarat-syarat kontrak? soal Foong Hin. – Roketkini.com