Pembongkaran klip video ucapan Timbalan Perdana Menteri ‘menghentam’ 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan secara tidak langsung Datuk Seri Najib Razak sebenarnya lebih daripada sekadar kemarahan biasa-biasa.
Berdasarkan kepada penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Zahid Hamidi, kita sepatutnya boleh menjangkakan betapa bergeloranya parti UMNO ketika ini.
Menurut laman web pro-UMNO, Zahid mengakui ‘dalang’ yang membuat rakaman ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah ahli parti itu sendiri.

Tidak cukup dengan itu, ‘dalang’ itu adalah pemimpin UMNO Segambut. Bukan calang-calang orang. Jika itu tidak cukup meyakinkan, sila lihat fakta ini: Beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian.
Sekarang, pertimbangkan pula fakta ini: Memetik kata-kata Zahid sendiri, individu itu adalah “seorang timbalan ketua bahagian yang tidak sepatutnya hadir.”
Jika itu masih belum meyakinkan – lagi – sila fahami ayat Zahid yang berikut: “Sekretariat (kursus tersebut) tidak tahu menahu.
Persoalan yang boleh ditanyakan tanpa perlu penganalisis berpangkat profesor pun ialah:
– Bagaimana sekretariat kursus boleh “tidak tahu-menahu”? Adakah rakaman itu dibuat dengan kamera rahsia? Tentulah tidak
– Adakah rasa tidak puas hati kepada Najib dan 1MDB itu terhad kepada “timbalan ketua bahagian” itu semata-mata? Tentulah tidak, kerana sorakan penonton sebagai reaksi cuapan Muhyiddin kedengaran ramai. Mungkin ratusan orang

Kata Zahid lagi, sebelum ini kursus berkenaan tidak menyediakan slot ucapan perasmian atau penutupan. Isunya ialah: Bagaimana Muhyiddin boleh berdiri di pentas itu dan memberikan ucapan penuh bersemangat itu?
Kata Zahid, Muhyiddin hadir atas kapasiti ketua bahagian Umno.
Jawapan Zahid diakhiri dengan nasihat kepada ahli parti: “Sama2 berusaha utk meredakan keadaan.”
Reda? Ye lah tu! – Roketkini.com