Berita, Isu Semasa

Ilham Dewan Ulama cuma usul cincai’?

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Keputusan PAS menerima usul memutuskan kerjasama dengan DAP dalam muktamar pada 6 Jun lalu kini menjadi kacau-bilau apabila pemimpin PAS dilihat cuba melakukan pusingan ‘U’ terhadap keputusan itu.

limlipeng_M1

Lim Lip Eng

Menurut Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, sikap gopoh itu terbukti dengan sikap Pesuruhjaya PAS  Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

“Saya baca laporan mengenai Iskandar yang berkata usul menceraikan DAP yang diingini Dewan Ulama  PAS tidak muktamad.

“Adakah Iskandar cuba menyatakan bahawa muktamar PAS boleh sesuka hati meluluskan usul tanpa  berbahas? Atau ia hanya tulisan di atas kertas?” soal Lip Eng.

Usul menamatkan hubungan PAS – DAP itu dikemukakan Dewan Ulama PAS mengandungi sembilan hujah. Ia kemudian diterima muktamar tanpa sebarang perbahasan.

Menyifatkan usul itu dibuat secara cincai (tidak teliti), Lip Eng mengatakan ia adalah sikap yang sukar diterima kerana akan terbawa-bawa dalam pentadbiran Selangor.

Selangor_EXCO__Iskandar_Abdul_Samad_270814_TMIAFIF_004

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Ir Iskandar Abdul Samad

“Bagaimana dengan sembilan hujah Dewan Ulama pula? Adakah ia dibuat secara cincai, diterima tanpa bahas secara cincai dan akan berakhir dianggap cincai dan tidak serius juga?

“Jika inilah sikap PAS, sering membuat pusingan U dan cakap lain kemudian buat lain; saya risau perangai tersebut jadi ikutan dalam mentadbir Selangor bersama exco DAP,” katanya.

Lip Eng juga mempersoalkan sama ada Iskandar sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor bersetuju dengan usul diputuskan tanpa bahas di muktamar hujung minggu lalu.

“Jika Iskandar bersetuju, adakah beliau akan meletak jawatan bersama ahli PAS yang lain?” katanya. – Roketkini.com