Berita

PKR Sarawak mahu GHB tolak hudud tapi PKR kekal dengan PAS yang mahu laksana hudud

KUCHING, 20 JULAI: PKR Sarawak telah mendesak Gerakan Harapan Baru (GHB) supaya menolak hudud. Tetapi pada masa yang sama PKR masih mengekalkan hubungan dengan PAS yang mahu melaksanakan hudud.

Menurut laporan media, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang membuat desakan itu mahu GHB menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara sekular.

GHB adalah gerakan politik pimpinan dan ahli PAS sederhana yang menolak kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kumpulan konservatif. Kumpulan GHB berhasrat menubuhkan sebuah parti Islam yang progresif dan inklusif.

Muktamar PAS pada Jun lalu telah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP. Kenyataan-kenyataan pucuk pimpinannya sejak akhir-akhir ini pula dilihat seperti membela Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin dihimpit skandal 1MDB.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, PKR Sarawak perlu membuat keputusan sama ada masih mahu bersama PAS Sarawak atau tidak.

Katanya, Hadi telah berkali-kali menegaskan bahawa hudud adalah agenda utama PAS, dan pimpinan PAS Sarawak menyokong pendirian Hadi.

“Hanya satu soalan mudah. Bila pilihanraya negeri Sarawak tiba nanti, adakah PKR akan membantu PAS berkempen, setelah tahu bahawa PAS di bawah pimpinan Hadi memang akan meneruskan agenda hudud?

“Jika jawapan PKR adalah ‘ya’, maka PKR telah menggadaikan sekularisme, dan jika jawapannya ‘tidak’, maka mengapa terus bekerjasama dengan PAS?” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berpendapat, sikap PKR yang mahu mengekalkan hubungan dengan PAS tetapi masih ingin bekerjasama dengan GHB yang ditubuhkan oleh pimpinan PAS yang sederhana menunjukkan ia bersikap oportunis.

“Jika kita benar-benar percaya dengan sekularisme di Malaysia, maka dengan apa yang dibawakan oleh PAS di bawah pimpinan Hadi, memang mustahil untuk bekerjasama dengan PAS,” tambah beliau.

Menurutnya, walaupun Baru Bian mengaku menolak hudud, pendirian PKR yang terus mengekalkan kerjasama dengan PAS tidak pula mencerminkan pendirian PKR Sarawak. – Roketkini.com