Rencana

Umno Johor wajar kaji semula hubungan dengan Presiden Umno jika mahu selamatkan negara

UMNO-BN Johor seharusnya mengotakan kata-kata mereka (walk the talk) dalam isu melibatkan hakisan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Apa yang terjadi dalam Pemuda MCA Johor baru-baru ini yang bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden UMNO dan Juga Pengerusi Barisan Nasional, merupakan manifestasi kekecewaan rakyat apabila Perdana Menteri yang menggagaskan 1Malaysia telah bertindak menyokong Perhimpunan Baju Merah yang sarat dengan elemen perkauman.

Saya tidak berminat untuk menyokong tindakan Pemuda MCA Johor kerana itu merupakan hak mereka dalam konteks kebebasan memilih dan hak untuk berbeza pendapat, baik dalam konteks kepartian, persatuan atau individu.

Tetapi yang menjadi pokok isunya di sini ialah, sokongan Najib (malah beliau memuji ) Perhimpunan Baju Merah ini menunjukkan bahawa beliau menyokong tindakan-tindakan provokatif perkauman sempit yang mendorong kepada perpecahan kaum.

Kain rentang yang memperlekeh sekolah vernakular, ucapan kesat ‘pendatang’, ungkapan menghina budaya ‘Cina Babi’ ini adalah isi kepada himpunan yang disokong oleh Najib tersebut.

Dan pada masa yang sama, Menteri Besar Johor sendiri pada 4 Ogos 2015, dengan terang menjelaskan di dalam laman facebook peribadinya menyatakan ‘… bila parti tidak lagi mengutamakan perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti atau disiplin kepartian mentaati pemimpin.’

Dengan kata lain, kenyataan ini memberi gambaran bahawa perjuangan UMNO sudah dipergunakan untuk kepentingan pemimpin tertentu. Soal siapakah pemimpin yang MB Khaled maksudkan, semua rakyat boleh agak.

Begitu juga dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh beberapa hari yang lalu, merujuk kepada masalah perkauman, “ Ia tidak boleh dipandang ringan dan jika berlarutan akan menerbitkan sifat perkauman yang menebal yang menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain.

“Lebih memburukkan keadaan, kerana sentimen ini dibangkitkan oleh pemimpin politik yang mahu berlagak seperti hero yang mempunyai agenda tersembunyi, sedangkan tindakan itu telah membuatkan rakyat berasa takut serta tidak selamat berada dalam negara sendiri.”

Begitu juga dengan titah Baginda Tuanku Sultan Johor bahawa “Saya tidak akan bertoleransi dengan mereka yang mengamalkan sifat benci-membenci dan perkauman di tanah Johor Darul Ta’zim.”

Maka, tindakan Pemuda MCA Johor ini tidak perlu dipersoalkan jika kita rujuk kenyataan-kenyataan diatas yang mana ia selari dengan hasrat UMNO dan Institusi Raja untuk sama-sama menolak sikap-sikap dan tindak-tanduk perkauman.

Seharusnya UMNO dan BN Johor juga wajar mengkaji semula hubungannya dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN. Tindakan Najib adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan menyokong tindak-tanduk perkauman yang dilakukan oleh penggerak Himpunan Baju Merah.

Saya mengulangi saranan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bahawa jika UMNO Johor benar-benar mahu berubah dan menolak politik perkauman, DAP Johor bersedia untuk bekerjasama demi memastikan Johor menjadi pemangkin perubahan kepada yang lebih baik.

 

*Penulis merupakan ahli jawatankuasa DAP Negeri Johor