Berita

BIPPA: Larangan laungan kuat selain azan, iqamah disaran Maqasid Syariah

KUALA LUMPUR 1 OKT: Keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang tiada laungan kuat menggunakan pembesar suara tidak bertentangan dengan Islam berikutan tiada nas sahih mengenai keperluan laungan kuat dari dalam masjid selain azan dan iqamah.

Wan Ji Wan Hussin dari Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, berkata ramai tokoh maqasid syariah menyatakan syariah diturunkan untuk kebaikan bukan kerosakan kepada manusia.

“Ditegaskan tokoh seperti Al-Syatibi dan al-Izz bin al-Salam. Ekoran itu, tiada hairan kita dapati tindakan yang mengganggu orang ramai berbentuk berbuat bising tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w,” katanya.

Merujuk laungan kuat kepada bacaan al-Quran atau syarahan agama, beliau pada kenyataan media hari ini, berkata,  budaya hormat menghormati perlu disubur berikutan Malaysia sebuah negara majmuk termasuk perbezaan agama.

Justeru, Wan Ji berkata, fatwa berkaitan penggunaan pembesar suara hingga kedengaran kuat di luar masjid itu, perlu dicontohi dan diteladani semua negeri di negara ini, atas semangat dan roh Maqasid Syariah.

Katanya,  BIPPA AMK menganggap fatwa itu mengandungi maksud mahu menyuburkan budaya hormat menghormati antara penganut agama dan ia tidak sewajarnya diamal umat Islam sahaja, bahkan penganut agama lain

“Orang bukan Islam juga wajar tidak melakukan gangguan suara kecuali perkara yang memang wujud dalam agama atau budaya mereka.

“BIPPA AMK berharap semua saling merai antara agama dan kaum di negara ini bagi memastikan masa depan negara terjamin,” katanya.