Berita

Kit Siang: Peruntuk dua hari sidang Parlimen bahaskan skandal 1MDB

KUALA LUMPUR 7 OKT: Sidang Parlimen perlu memperuntuk dua hari pertama pembentangan Belanjawan pada 19 dan 20 Oktober ini bagi membahaskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan Raja-Raja Melayu mula menyuarakan kebimbangannya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut berkongsi kebimbangan Raja Raja Melayu kerana skandal itu boleh meruntuhkan ekonomi, selain menjejaskan keselamatan negara.

“Adakah kabinet akan membuat pengumuman pelan tindakan baru terhadap siasatan itu selepas kenyataan Raja-Raja Melayu itu, sekaligus menghapus keraguan rakyat terhadap kejujuran kerajaan?” katanya.

Dalam Kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, semalam, Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Baginda sekalian juga menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan itu berjaya.

Kit Siang berkata, proses siasatan 1MDB di negara ini seolah-olah tersekat dan menemui jalan buntu, malah tiada siapa mengetahui secara tepat pihak mana sedang menyiasat skandal itu sekalipun ia mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa.

“Ini memalukan Malaysia jika kita hanya bergantung kepada siasatan antarabangsa yang dijalankan pelbagai negara,” katanya pada kenyataan media, hari ini. -Roketkini.com