Rencana

Pendidikan: Coup d’état politik emosi dan raksaksa birokrasi

SETIAP krisis politik pasti menuntut mangsanya.

Lumrahnya, mereka yang berada pada pihak yang salah, sesudah habisnya percaturan kuasa akan terkorban. Demikian juga di Malaysia, kita berulang kali melihat ramai menteri dan pegawai berpangkat tinggi dibuang kerja, bersama dengan gerombolan pengikut dan
aparat mereka, setiap kali krisis menyelubungi kepimpinan politik negara.

Kesan kegoyahan politik biasanya paling ketara dalam sektor ekonomi. Perubahan positif tentu akan meningkatkan tahap keyakinan manakala ketidakstabilan menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur, peralihan keluar modal dan kesan ke atas ekonomi.

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila Bank Negara menyatakan penurunan berterusan nilai mata wang ringgit – 40 peratus berbanding dolar AS, sekaligus mencatat prestasi paling teruk di Asia pada tahun ini – berpunca daripada musibah politik yang berkait dengan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, di Malaysia, kesan krisis politik tidak hanya tertumpu kepada ekonomi semata-mata.

Memandangkan pendidikan adalah satu isu yang lazim dipolitikkan, dengan polemik yang kerap berkisar pada soal bahasa dan identiti dan bukannya kualiti dan kecekapan, kita mendapati wacana pendidikan seringkali terperangkap dalam kekusutan politik partisan.

Justeru, pergolakan politik yang mendadak kerap menyebabkan perubahan besar terhadap dasar pendidikan – khususnya apabila jawatan menteri bertukar tangan.

 

Pempolitikan pendidikan 

Umum mengetahui Malaysia sebuah negara yang terpisah mengikut garis politik identiti, dengan persaingan antara dua naratif berbeza – satu yang memperjuang negara bangsa Melayu-Islam berdasarkan ideologi nasionalis etno-agama yang melebihkan satu komuniti daripada yang lain, manakala satu lagi menyokong negara bangsa Malaysia yang majmuk dengan perlindungan saksama kepada semua seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Maka, tidak hairanlah apabila perbezaan itu juga terzahir dalam bidang pendidikan.

Kewujudan sistem sekolah pelbagai aliran yang dibezakan mengikut bahasa pengantar bukanlah sesuatu yang baru, malah sudah lama bertapak sejak sebelum kemerdekaan.
Sebelum Perang Dunia Kedua, sistem sekolah terdiri daripada sekolah yang dibiayai kerajaan, iaitu sekolah Inggeris di bandar dan sekolah vernakular Melayu di luar bandar, serta sekolah aliran Cina dan Tamil yang wujud dalam persekitaran laissez-faire dengan bantuan kerajaan yang minimum.

Usaha menyatukan sistem pendidikan kepada struktur atas-bawah (top-down) yang lebih terpusat hanya berlaku setelah kuasa kolonial mengambil balik tampuk kuasa pada zaman pasca-perang, dengan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pusat mengenai Pendidikan (Central Advisory Committee on Education) pada 1948.

Susulan itu, laporan yang dihasilkan seperti Laporan Holgate pada 1950, Laporan Barnes (1951) dan Laporan Jawatankuasa Fenn-Wu (1951), dengan jelas menyokong penyatuan aliran sekolah yang pelbagai.

Sememangnya, cadangan penyatuan aliran diperbahas dengan sengit. Ahli pendidik Cina dan Tamil melihatnya sebagai ancaman kepada identiti kebudayaan mereka manakala nasionalis Melayu merasakan bahasa Inggeris lebih diutamakan daripada bahasa Melayu sebagai bahasa utama ilmu.

Polemik emosi dan sempit ini lantas menjadi teras kepada apa yang dikenali hari ini sebagai politik bahasa dalam sistem pendidikan Malaysia.

Akhirnya, tolak ansur diperoleh pada 1956 dengan Laporan Razak, yang menyerapkan unsur-unsur daripada kedua-dua Laporan Barnes yang lebih memihak kepada kepentingan nasionalis Melayu serta Laporan Fenn-Wu yang lebih disenangi orang Cina dan India.

Ini melibatkan integrasi semua sekolah rendah vernakular ke dalam sistem sekolah kebangsaan dengan mewujudkan penarafan “kebangsaan” dan “jenis kebangsaan,” serta penggunaan sukatan pelajaran sejagat bagi semua sekolah itu.

 

13 Mei dan berakhirnya pendidikan aliran Inggeris

Kompromi yang dicapai hanya mampu bertahan untuk seketika. Nasionalis Melayu terus iri hati dengan peranan dominan pendidikan aliran Inggeris.

Penyokong bahasa vernakular pula meratapi hakikat bahawa Laporan Rahman Talib, digubal dalam bentuk Akta Pendidikan 1961, menyekat kemajuan pendidikan aliran Cina dan Tamil dengan hanya membenarkan kewujudan dua aliran di peringkat sekolah menengah, yakni sekolah kebangsaan Melayu dan sekolah jenis kebangsaan Inggeris.

Maka, rasa tidak puas hati antara (dan juga dalam kalangan) kumpulan-kumpulan komunal itu terus hangat sepanjang dekad sebelum akhirnya mendidih apabila sentimen perkauman dipanaskan menjelang Pilihan Raya Umum 1969.

Ekoran rusuhan kaum di Lembah Klang pada 13 Mei 1969, Darurat diisytihar di seluruh negara dan demokrasi berparlimen digantung.

Dengan penggantungan itu, keseluruhan kawalan eksekutif negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuh pada 16 Mei 1969 dengan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sebagai peneraju.

Walaupun Tunku Abdul Rahman kekal sebagai Perdana Menteri sehingga September 1970, kedudukan beliau selepas Mei 16 hanya sekadar nama sahaja kerana semua kuasa eksekutif dipegang oleh Mageran.

Sama ada peristiwa yang berlaku pada Mei 1969, daripada hari mengundi pada 10 Mei hingga rusuhan pada 13 Mei dan kemudian peralihan kuasa pada 16 Mei, merupakan sebahagian coup d’état yang terancang atau tidak, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah hasilnya – dengan pelantikan Razak untuk mengetuai Mageran dan kemudian mengambil alih jawatan Perdana Menteri lebih setahun kemudian – membawa kesan sama.

1545594_981629748520630_2553065453424156309_nHatta dengan terbitnya kelompok baru di tampuk kuasa negara, peluang dibuka untuk peralihan dasar yang ketara. Sebagai contoh, penstrukturan semula sosial melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenal untuk menangani punca konflik sosial, iaitu jurang sosio-ekononomi yang nyata antara Cina bandar dan Melayu luar bandar.

Pun begitu, walaupun banyak diperbincang mengenai kejayaan dan kegagalan program sosio-ekonomi DEB, tidak cukup perhatian diberi kepada perubahan asas yang dilakukan dalam sistem pendidikan.

Seperti yang diterangkan sebelum ini, rusuhan tragis 13 Mei mengakibatkan pertukaran rejim pemerintah. Bukan sahaja Tunku diketepi tetapi juga sekutu utamanya yang kebanyakannya digantikan dengan pengikut setia Razak.

Salah satu penyingkiran yang berlaku ialah pelucutan menteri kanan Umno, Md Khir Johari daripada portfolio pendidikan, jawatan yang disandangnya selama sembilan tahun (bukan berturut-turut). Tempatnya digantikan dengan sekutu Razak, Abdul Rahman Ya’kub dari Sarawak.

Lebih sekadar mengukuhkan kedudukan politik Razak, langkah itu juga membuka jalan bagi puak nasionalis Melayu untuk melaksanakan perubahan dasar pendidikan yang telah lama diingini, khususnya berkaitan isu bahasa.

Dalam hal ini, Khir Johari, yang bukan sahaja bekas pelajar sekolah aliran Inggeris tetapi juga pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah Inggeris, senantiasa dianggap sebagai duri dalam daging nasionalis Melayu. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau terkenal sebagai seorang yang bersimpati dengan pendidikan aliran Inggeris dan sangat menyokong pengekalannya di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, dengan ketiadaan penghalang utama mereka, pentadbiran Mageran Razak mengumumkan secara rasmi pada 10 Julai 1969, kurang dua bulan selepas rusuhan 13 Mei, bahawa pendidikan aliran Inggeris akan ditamatkan.

Melalui arahan menteri, kerangka masa secara beransur-ansur dibentang untuk penggantian bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan awam, daripada sekolah rendah hingga universiti.

 

Satu lagi krisis, satu lagi menteri, satu lagi perubahan dasar

Krisis politik semasa yang menyelubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan penggunaan langkah-langkah keras untuk menjamin kedudukannya.

Di tengah-tengah dakwaaan rasuah besar dan penyelewengan yang tertumpu kepada dana pelaburan 1MDB yang diterajui Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat yang penuh kontroversi, pelbagai tindakan dilakukan – lesen akhbar digantung, pengkritik ditangkap dan pemimpin kerajaan dipecat.

Antara mangsa berprofil tinggi termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dua menteri kanan iaitu Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam rombakan Kabinet yang menyusul, penyokong setia diberi jawatan utama dan kesannya seperti yang boleh diramal – peningkatan nasionalisme etno-agama sempit dan pendirian perkauman agresif seperti yang dizahirkan oleh Perhimpunan Baju Merah.

hbm2Protes itu menyaksikan ribuan penunjuk perasaan yang rata-rata terdiri daripada satu kaum berkumpul di Kuala Lumpur untuk menuntut hak keistimewaan Melayu sambil memaparkan slogan provokatif dan anti-Cina.

Bukan sahaja perhimpunan bersifat perkauman itu dibenar untuk diteruskan, kehadiran pemimpin kanan Umno, termasuk menteri kerajaan, jelas mendedahkan sokongan tersirat oleh kepimpinan negara.

Seperti yang dijangka, peningkatan sentimen hegemoni Melayu itu juga dicerminkan dalam arena pendidikan. Berikutan penyingkiran Muhyiddin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan baru.

Belum sempat dipanaskan kerusinya, beliau lantas menghebohkan kemunculannya ke dalam barisan kanan politik Malaysia dengan serangan gasar ke atas kewujudan “konspirasi Yahudi-Kristian” untuk memecah belah orang Melayu.

Jika ada sesiapa bersangka baik dengan pandangan dangkal itu sebagai mungkin kejadian terpencil, Mahdzir sekali lagi mengeluarkan dakwaan tanpa asas bahawa kewujudan sekolah vernakular punca utama perpecahan negara.

Selepas itu, beliau cuba mewajarkan Perhimpunan Baju Merah sebagai akibatnya apabila orang Melayu “ditekan.”

Justeru, tidak mengejutkan bahawa perubahan polisi pertama oleh Menteri Pendidikan baru adalah berkaitan dengan isu sensitif bahasa, apabila beliau bertindak menangguh keputusan menteri sebelumnya untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus peperiksaan SPM berkuat kuasa pada 2016.

Tindakan itu menarik banyak kritikan kerana seolah-olah menidakkan langkah Muhyiddin yang dilihat ramai sebagai perubahan ke arah reformasi progresif yang sekian lama dinantikan oleh aktivis pendidikan.

 

Masalah struktural 

Sudah menjadi sesuatu kelaziman bahawa perubahan dasar bahasa dilakukan setiap kali jawatan Menteri Pendidikan beralih tangan. Malah, Muhyiddin sendiri, apabila diberi portfolio itu pada 2009, bertindak memansuhkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik, dasar yang digubal hampir tujuh tahun sebelum itu.

Jelas, sistem pendidikan di Malaysia tenat dengan keputusan rambang dan dasar flip-flop, khususnya apabila menteri baru dilantik. Ini menjadi satu kebimbangan serius kerana keputusan besar dalam dasar pendidikan bukan hanya menimbulkan implikasi kos dan sumber, malah memberi kesan ketara ke atas seluruh generasi rakyat Malaysia.

Keputusan flip-flop berterusan dalam dasar bahasa merupakan kes paling jelas.

Setelah mewarisi tradisi penguasaan bahasa Inggeris yang kuat, satu ciri yang diiktiraf sebagai kekuatan utama tenaga kerja Malaysia dalam beberapa dekad pertama pembangunan negara, mutu bahasa Inggeris yang lemah kini disalahkan sebagai penyumbang utama kekurangan daya saing dalam kalangan graduan kita.

Namun, ketika negara menghadapi cabaran sumber manusia yang serius, menteri-menteri pendidikan kita terus membuat keputusan berdasarkan politik emosi dan bukan bukti empirikal.

Inilah pokok sebenar kepada masalah pendidikan kita hari ini.

Masalahnya bukan semata-mata kerana menteri berpandangan sempit dan parokial dilantik – sudah pasti, ia akan membantu jika mereka tidak dipertanggungjawab dengan lantikan penting ini – tetapi juga kerana terdapat terlalu sedikit ruang semak dan imbang atau peluang intervensi untuk mengelak keputusan rambang oleh mana-mana menteri pendidikan.

Masalah ini mencerminkan masalah struktur. Sejak Laporan Razak, nasionalisasi pendidikan secara beransur-ansur mengakibatkan pemusatan kuasa secara perlahan-lahan.

Daripada sistem yang dianggap laissez-faire dengan sekolah diberi ruang dan autonomi, sistem pendidikan kini berkembang menjadi raksasa birokrasi yang terpusat dengan kuasa membuat keputusan tertumpu di tangan eksekutif politik.

Sebagai contoh, sementara sistem pendidikan maju di seluruh dunia secara lazimnya melantik badan bebas dan profesional untuk mentadbir dan menguruskan peperiksaan, penggubalan kurikulum dan latihan guru, semua bidang itu berada dalam kawalan langsung kementerian di Malaysia.

Pada masa sama, terdapat terlalu sedikit autonomi di peringkat sekolah sehingga persekitaran sekolah menjadi kurang berdaya saing dan sifat pemilikan masyarakat atau penglibatan ibu bapa dalam tadbir urus sekolah tidak signifikan.

Akibat kawalan langsung eksekutif ke atas pendidikan, serta sifat polemik pendidikan yang sangat dipolitikkan, tidak hairanlah apabila sekolah menjadi alat untuk mencapai matlamat politik, bukannya objektif pendidikan.

Bukan sahaja mata pelajaran tertentu dicemari oleh politik partisan, malah kita kerap mendengar guru dipindah kerana pandangan politik mereka atau pekeliling yang mengingatkan” sekolah untuk mengurangkan interaksi dengan ahli politik pembangkang, walau sebaik manapun niat mereka.

Oleh itu, jika pembaharuan pendidikan hendak dicapai, isu struktural harus ditangani terlebih dahulu. Sebagai permulaan, menteri tidak wajar diberi kuasa langsung ke atas bidang teknikal seperti peperiksaan, kandungan kurikulum mahupun pengurusan guru.

Su263304_10200344540681865_962808286_ndah tentu, keputusan ke atas aliran pendidikan atau subjek peperiksaan tidak patut dibuat oleh sang menteri. Sebaliknya ia perlu diuruskan oleh badan profesional dan bebas. Sebagaimana songsang sekalipun kedengarannya, kuasa Kementerian Pendidikan harus dikurangkan secara drastik dan dirasionalkan.

Kebanyakan peranan dan fungsi semasa perlu dipencarkan kepada badan bebas manakala kementerian hanya menumpukan perhatian kepada kawalan kualiti, pentadbiran dana dan memastikan matlamat dan KPI tercapai.
Jika kita benar-benar mahu menjadikan sistem pendidikan Malaysia sebagai sistem pendidikan abad ke-21, maka keputusan sukar itu perlu dibuat. Barulah kita boleh menggantikan politik bahasa dengan perbahasan yang lebih progresif mengenai kualiti dan kecekapan.

Sehingga, dan melainkan masalah struktural ditangani, pendidikan akan terus menjadi mangsa politik terbesar di Malaysia.
* Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera