Sastera

CERPEN: Kota Mimpi

RAHIM mematikan enjin keretanya setelah memasuki perkarangan rumah. Dia tidak segera keluar, sebaliknya Rahim lebih selesa berada di dalam kereta untuk seminit dua. Kadang mencecah sehingga lima minit.

Seperti biasa, Rahim akan bersandar dan memejamkan matanya. Tangannya tidak lagi memegang stereng kereta, sekadar diletak ke atas pehanya. Rahim melepaskan lelah yang terkumpul sepanjang hari dengan berangan–angan.

Sedikit demi sedikit, angan-angannya melepaskan segala kusut dan risau yang memaut pada Rahim bagai belon yang dilepaskan ke angkasa. Begitulah Rahim sebulan dua ini. Asyik benar dia dengan dunia angannya. Dulu, angannya sekadar membawa hatinya lari dari kesemakan di tempat kerja. Kini angannya sudah bagai pokok yang berusia ratusan tahun. Tinggi dan teguh, berakar kuat di jiwa dan akal Rahim.

Dalam angannya, Rahim membayangkan dia seorang yang kaya. Segala hutang-hutang tidak lagi bertali pinggang di tubuhnya. Tubuh Rahim dihiasi baju-baju yang dijahit dengan benang selesa. Rahim tidak lagi risau, dia mampu membeli tenang dan dipenuhi rumahnya dengan ketenangan pada setiap dinding dan penjuru rumahnya.

Bukan itu sahaja, Rahim mampu membeli enak sebagai juadah untuk keluarganya dan paling penting, katil di bilik tidurnya adalah kapas nyenyak gred A. Mampu melenakan Rahim secara levitasi.

Rahim membuka matanya, dia tersenyum puas. Walaupun ini semua mimpi, tetapi cukup untuk melegakan gemuruh Rahim pada kehidupan seketika bagaikan dadah. Rahim melangkah masuk ke rumahnya, sesuatu yang selalu ingin dia rasai tidak pernah tertunai, kepulangannya disambut isteri tersayang.

Setelah mandi dan solat, Rahim duduk di meja makan untuk makan malam. Segala telah terhidang, Rahim menceduk nasi dan lauk perlahan-lahan. Isterinya di hadapannya becok bercerita itu ini.

Rahim acuh tak acuh sahaja. Tumpuannya hanya pada makanan di dalam pinggannya. Seharian berlapar di pejabat, membuat Rahim tidak peduli apa pun disekelilingnya. Sekiranya isterinya bertukar menjadi Zombi pun, tidak Rahim peduli. Biarlah isterinya menggigit lehernya, yang penting dia dapat makan.

“Bang, hujung minggu ni kita balik kampung nak? Lama dah kita tak balik tengok mak,” cadang isterinya.

Rahim tidak segera menjawab. Sambil mengunyah, otak Rahim memproses perlahan informasi yang baru diterima tadi. Informasi tadi yang datang dari corong telinga Rahim, dihantar ke dua bahagian otak Rahim. Satu di bahagian logik dan satu lagi di bahagian kira-kira.

Isteri Rahim menunggu jawapan Rahim dengan penuh taksub, jemarinya bermain dengan butir nasi di pinggan. Lima saat kemudian, bahagian logik di otak Rahim memberi lampu merah tanda gagal kerana, hujung minggu ini Rahim perlu bekerja pada hari Sabtu dan sekiranya mereka mahu pulang ke Kedah, maknanya Rahim perlu bergerak seusai urusan di pejabat dan kemudiannya perlu pulang ke Kuala Lumpur pada hari Ahad petang dan ini amat memenatkan.

Bahkan, hari Isnin Rahim perlu kerja semula. Serentak itu juga, bahagian kira-kira di otak Rahim juga menyalakan lampu merah kerana seingat mereka, baki di akaun Rahim hanya tinggal RM200 untuk sampai ke hujung bulan yang masih jauh gilirannya.

Kedua keputusan itu kemudian dihantar ke bahagian “isteri” di otak Rahim sebelum ditukar menjadi perkataan untuk dituturkan oleh Rahim. Di bahagian “isteri”, keputusan negatif tadi ditapis dengan cermat sehingga bibit-bibit positif mula tumbuh menghijau. Kemudian ditukarkan kepada huruf dan dihantar ke bahagian mulut untur dituturkan. Semua ini berlaku di dalam lima saat.

“Yelah,” jawab Rahim sambil mencapai mangkuk air basuh tangan. Dibasuh jari-jarinya yang bergelumang dengan nasi, kuah lemak ayam dan sambal kicap. Isterinya tersengih-sengih mendengar jawapan Rahim, disambung celotehnya tanpa diminta. Selepas minum, Rahim bangun menuju ke luar rumah.

Sebuah kerusi kayu dan meja bulat kecil menantinya. Di atas meja bulat itu ada sekotak rokok, pencucuh api menantinya. Rahim mencapai kotak rokok, mengeluarkan sebatang dan menyalakannya. Asap rokok dilepaskan Rahim perlahan-lahan. Ada keberatan di situ.

Rahim menikmati keindahan malam dengan perdebatan di dalam dirinya. Lampu-lampu merah tadi di dalam otaknya menyala-nyala diiringi dengan siren yang memeritkan. Ada suara di dalam dirinya mengutuk Rahim kerana bersetuju untuk pulang ke kampung.

Esoknya datang seperti semalam. Manusia bertebaran keluar bagai semut dari sarangnya mengerjakan rutin hari. Di dalam kelompok itu, Rahim di dalam kereta mencicip perlahan kepahitan kesesakan lalu lintas yang semakin basi. Rutin pagi dan petang yang sama. Tol-tol masih mengemis.

Setiba di pejabat Rahim melangkah perlahan ke mejanya. Kedatangannya disambut dengan fail-fail yang berbusut di mejanya. Rahim duduk di kerusinya yang kusam. Menatap lama skrin komputernya sebelum menghidupkannya.

Satu jam berlalu dengan amat perlahan. Perutnya mula mengetuk-ngetuk waras Rahim memaksa matanya sentiasa mengerling jam di tangannya. Ingatannya tertancap keras pada imej bekal yang dibawanya tanpa sedar seseorang menghampiri meja Rahim.

“Im, bos panggil,” tutur Kamal, rakan sepejabatnya.

Rahim mendongak. Renungan mata Kamal yang dalam gagal ditafsir oleh Rahim. Dengan malas, Rahim bangkit dan menuju ke bilik majikannya, sedang hatinya sudah sampai di kantin sedia untuk bersarapan.

Rahim mengetuk perlahan pintu yang menjadi pemisah antara matanya dan isi bilik itu. Rahim memulas tombol dan membuka pintu. Tersergam tubuh yang gempal menyambutnya dengan senyum dan menggamit Rahim agar masuk. Rahim duduk dengan agak tidak selesa kerana kesejukan dari penghawa dingin bilik majikannya menari-nari di atas tubuh Rahim.

“Rahim.” Majikannya memulakan bicara kemudian terhenti.

Rahim menatap wajah majikannya yang bercermin mata dan bertahi lalat di hidung. Sekali lagi Rahim gagal mentafsir getaran cemas yang beriak dari ucapan majikannya tadi.

“Saya tiada cara yang paling mudah untuk memberitahu perkara ini. Tetapi perkhidmatan awak telah pun ditamatkan oleh syarikat,” jelas majikannya sambil menghulurkan surat bersampul putih kepada Rahim.

Kata-kata majikannya tadi bagaikan gong besar yang dipalu, berbunyi membingitkan sehingga hatinya di kantin kembali kepada tubuh Rahim. Seketika itu, tabir-tabir angannya runtuh menunjukkan realiti yang buruk. Tidak cukup dengan itu, muka Rahim menjadi panas kemerahan bagaikan baru ditampar.

Dalam beberapa saat itu, ingatan Rahim ditarik kembali kepada beberapa bulan lepas kepada memo yang diterima semua tentang syarikat akan mengurangkan sepuluh peratus pekerjanya lantaran kerana tidak dapat menampung kos selepas cukai baru diimplementasi.

Dari situ, ingatan Rahim berpusing laju kepada beberapa pekerja tiga minggu lepas yang telah diberhentikan. Tertayang wajah sugul mereka.

“Rahim! Rahim!”

Rahim memandang ke kiri dan kanan mencari sumber suara yang memanggilnya. Pelbagai imej bercampur baur dan menolak antara satu sama lain.

“Rahim!” Terpancul muka sahabatnya Salleh di hadapan Rahim serentak itu Rahim hampir terjatuh kerana terkejut.

“Aku mohon maaf, sekiranya selama kita bekerja ini, ada salah silap aku. Halalkan makan minum aku.” Tangan Rahim digenggam erat saat Salleh mengucapkan selamat tinggalnya. Hangat tangan sahabatnya sehangat air mata Rahim yang perlahan mengalir dari matanya. Rahim dikembalikan semula kepada realiti.

Tanpa sedar, surat huluran majikannya telah pun disambut. Rahim tunduk, menyesal kerana tidak peka dengan keadaan sekeliling kerana terlalu asyik dengan kota mimpi yang dibinanya. Majikannya terus-terusan memohon maaf dan memberi kata-kata semangat.

Namun semua itu hujungnya merumuskan satu perkataan, hampa. Rahim tidak lagi mendengar. Laparnya tadi menyerah kalah. Beribu-ribu tangan menjulur keluar cuba menyusun kembali angannya yang runtuh.

Rahim di hadapan lampu isyarat. Kereta yang dipandunya berhenti kerana merah. Rahim mengimbas adegan salam-bersalaman di pejabatnya tadi. Seketika kemudian, wajah isterinya muncul sambil membawa sepanduk “balik kampung”.

Saat ini, segala fikir berhenti dari bergerak memberi laluan gerabak emosi untuk lalu. Perasaan takut, hampa, malu, gelisah dan ralat mengambil giliran menikam dada Rahim. Dalam buntu menadah tikaman itu, tiba tiba di hadapan Rahim tiada lagi lampu isyarat. Tiada lagi jalan tar dan bangunan. Tiada lagi kenderaan yang berhenti menunggu giliran. Yang ada cuma satu dataran hijau dan sebuah rumah yang indah di bawah pokok besar.

Rahim kenal akan tempat ini. Rumput-rumput meliuk ditiup angin bagai melambai kepada Rahim. Sekejap itu segala buntu, sesak, hampa, kalah dan payah lucut dari tubuh Rahim.

Dia ketawa senang dan berlari ke arah rumah tersebut, tanpa sedar sebuah lori cemas menjerit kepada Rahim.

 

* Muhd Iqbal ialah penulis yang aktif dalam penulisan sajak dan pernah menerbitkan antologi sajak persendirian Sang Lir Sari