Berita

1MDB: Selepas Kit Siang jadi mangsa, Dr M sasaran seterusnya?

KUALA LUMPUR 23 OKT: Bukan mustahil bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menjadi mangsa sasaran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mempertahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan, berkata semua rakyat harus menyedari akibat buruk dari kelewatan siasatan skandal itu.

Beliau berkata, kelewatan siasatan itu ketara sehinggakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) lambat tiga bulan membuat siasaran 1MDB, malah Majlis Raja-raja terpaksa membuat kenyataan supaya menyegerakannya.

“Masih adakah cahaya di hujung terowong dalam siasatan skandal 1MDB kerana ia bukan sahaja membawa kehancuran kepada pentadbiran Najib tetapi turut merosakkan Malaysia seterusnya menjadi sebuah negara gagal,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu digantung enam bulan selepas pengundian 107 menyokong dan 77 membantah sekalipun prosedur penggantungannya mencurigakan, malah beliau dinafi hak pembelaan.

Ia berikutan Kit Siang tidak menarik balik perkataan yang digunakannya terhadap Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pada perbahasan Isnin lalu dalam skandal 1MDB.

Usul penggantungan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said jam 11.40 pagi ini selepas usul sama ditolak semalam.