Berita

Ali Rustam mahu ‘berperang’ dengan rakyat berbilang kaum?

KUALA LUMPUR 26 OKT: Sosialis Muda DAP ((DAPSY) hari ini menyelar kenyataan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Mohd Ali Rustam yang seakan-akan mengajak pesilat Melayu untuk turun ‘berperang’.

“Dengan siapa Ali Rustam ingin berperang? Adakah ingin berperang dengan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang bersama-sama menuntut beberapa perkara yang membawa kebaikan kepada negara tercinta?

“Siapakah sebenarnya yang memalukan Melayu? ” kata Ahli Jawatankuasanya, Muhammad Shakir Ameer pada kenyataan media, hari ini.

Shakir Ameer
Semalam, Ali Rustam pada acara perasmian Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia berkata pesilat Melayu sedia berperang jika perlu kononnya bagi mempertahan maruah Melayu, Islam dan pemimpin.

“Kita nak beritahu kita masih ada di KL. Bukan kita nak berperang. Tetapi kalau orang nak berperang, kita pun sanggup,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Menyifatkan kenyataan itu bersifat perkauman yang boleh menjejaskan harmoni sesama bangsa dan tidak masuk akal, katanya, ia tidak wajar dibuat bagi seorang bekas ketua menteri.

Beliau berkata, kenyataan itu menunjukkan bekas ketua menteri itu yang juga penganjur perhimpunan Baju Merah  baru-baru ini, sudah tiada modal untuk berpolitik dan menjadi tidak relevan sejak kalah kerusi Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya umum lalu.

“Mungkin Ali Rustam sendiri boleh mula belajar silat untuk membina disiplin dan jati diri sendiri supaya fokus kepada tugasnya sebelum menuding jari kepada pihak lain atas kegagalannya sebagai pemimpin Melayu,” katanya.