Berita

Tuduhan ‘alkohol dan judi’ perlihat Hadi main politik gaya Umno

KUALA LUMPUR 16 NOV: DAP tidak pernah campur tangan dalam urusan berkaitan undang-undang Islam termasuk  kononnya mahu meminda aspek tertentu bagi membenarkan pengambilan alkohol dan judi terhadap umat Islam.

Menolak keras dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer, berkata DAP konsisten sejak penubuhannya menghormati Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

“Agenda DAP jelas. Kita tidak ada hasrat untuk membawa sebarang agenda keagamaan atau anti-keagamaan. Program kita tertumpu kepada nilai demokrasi, keadilan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menyatakan PAS menentang DAP memperkenal pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tidak mahu parti itu menghalalkan arak dan judi kepada orang Islam.

“Kita halang DAP daripada pemilihan perbandaran, (kerana) orang Cina akan kuasai bandar. Kita takkan benar (kawasan) bandar dikuasai oleh DAP, (yang) menghalalkan arak dan judi kepada orang Islam,” katanya dipetik.

Shakir AmeerJusteru, beliau berkata, Abdul Hadi perlu berhenti menyerang DAP dengan gaya Umno apabila menggunakan label perkauman semata-mata kerana terdesak untuk meraih keuntungan politik terutama sejak terkuburnya Pakatan Rakyat.

Sebagai peneraju parti politik Islam, Muhammad Shakir, berkata Hadi sepatutnya lebih memahami sebarang kenyataan berbentuk perkauman bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, DAP memperjuang pilihan raya PBT kerana DAP percaya dalam amalan demokrasi dalam tadbir urus tempatan akan membantu kualiti kehidupan rakyat dalam setiap perkara aspek.

“DAP sentiasa berusaha memastikan urus tadbir yang cekap di setiap peringkat supaya ia memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira jika bangsa dan agama,” katanya.