Rencana

Dugong, hidupan marin dan strategi pemuliharaan yang gagal

KETIKA ini, Johor sedang mengalami kerancakan kemajuan pembangunan dan pemodenan.

Oleh itu, ada banyak projek tambakan laut yang mungkin mengganggu keseimbangan ekosistem alam jika tidak dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Dalam perbahasan bajet dua tahun berturut-turut, saya membangkitkan isu kepentingan pemuliharaan marin sebagai keperluan mendesak dan terpenting yang perlu ditangani Kerajaan Johor.

Ini kerana marin adalah khazanah berharga yang kaya dengan hidupan marin, terumbu karang dan rumpai laut yang banyak dan cantik.

Pada Bajet 2015, saya membangkitkan isu dugong.

JBFOUND

JBFOUND

Akhirnya Kerajaan Negeri membuka mata dan memberi perhatian dalam isu berkenaan. Justeru, dalam Bajet 2016, Kerajaan Johor menyediakan dana khas untuk kajian mengenai dugong.

Diharapkan ia tidak berhenti sekadar itu sahaja. Kita perlu untuk mempertahan persekitaran habitat dugong terutama sekitar Pulau Merambong – kawasan yang ada rumpai laut terbesar di negara ini.

Kerajaan Johor perlu melakukan kajian komprehensif dekat Pulau Merambong dan menggazetkan habitat dugong sebagai Taman Marin.

Selain itu, Malaysia bersama lima negara lain memulakan inisiatif dikenali sebagai The Coral Triangle Initiative on Coral Reefs, Fisheries, and Food Security (CTI-CFF) sejak 2009 untuk mengenal pasti kepentingan menjaga wilayah marin dan sumber pesisiran pantai.

Inisiatif itu juga mengetengah ancaman utama marin iaitu tangkapan ikan berlebihan, kaedah menangkap ikan yang merosakkan alam sekitar, pembangunan pesisiran pantai dan pencemaran darat.

Bagaimanapun, Kerajaan Johor sebenarnya tidak berbuat apa-apa untuk membendung ancaman itu, sebaliknya mengenakan yuran RM200 bagi setiap penyelam skuba.

Berdasarkan kepada statistik, jumlah kutipan daripada 2013 sehingga Jun 2015 ialah RM2.63 juta tetapi kos keseluruhan untuk penguatkuasaan pula RM2.86 juta.

Dengan pendapatan yang kurang daripada perbelanjaan, apakah langkah lain yang akan dilaksana untuk memastikan hidupan marin dikekal, dijaga dan dipulihara?

Dalam hal penguatkuasaan, adakah mereka ditempatkan di tanah besar ataupun di pulau-pulau? Bagaimana pula dengan insiden penangkapan ikan secara haram di sekitar taman marin?

nelayanHakikat pahit yang perlu ditelah ialah kelompok yang terjejas secara langsung dalam isu pemuliharaan marin adalah penduduk kampung tempatan terutama yang tinggal di Pulau Aur.

Hasil kajian dan pemerhatian, rata-rata penduduk itu merancang meninggalkan pulau berkenaan. Mereka sudah terlalu tua untuk menangkap ikan dan hanya mampu mencari makan dengan mengubah rumah mereka menjadi inap desa.

Dengan aktiviti penyelaman dan bot pelancong yang semakin berkurangan, penduduk tempatan mengalami kesulitan mendapatkan barang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan daripada tanah besar.

Sangat sukar untuk mereka meneruskan kehidupan di pulau itu. Justeru, Kerajaan Johor harus mempunyai perancangan komprehensif untuk membantu 293 penduduk kampung di Pulau Aur.

Kerajaan Negeri patut menyediakan inisiatif untuk membantu penduduk dengan menyediakan perkhidmatan bot yang kerap, infrastruktur komunikasi lebih baik, juga kegiatan ekonomi baru untuk menyara hidup.

Janganlah kerana kononnya ingin memulihara marin, kita menindas penduduk tempatan pulau-pulau berkenaan. Jalan penyelesaian harus dicari supaya aspek pemuliharaan marin dapat dijaga dan pada masa sama, kepentingan penduduk tempatan tidak dikompromi.

johorSatu lagi masalah dalam pemuliharaan marin ialah kegagalan Kerajaan Johor mendidik nelayan supaya tidak menggunakan kaedah penangkapan ikan yang boleh menjejaskan hidupan marin lain.

Juga kegagalan menyusun atur dan mewarta kawasan sesuai dan dibenarkan sebagai kawasan sangkar ikan di laut.

Isu pemuliharaan marin sebenarnya memperlihat campur tangan Kerajaan Negeri datang dengan harga yang mahal.

Ironinya, ia memberi impak negatif kepada pihak yang mahu dibantu. Kita memang memerlukan satu model ekonomi realistik yang menjaga kesejahteraan dan kepentingan semua pihak yang terlibat.

 

* Chua Wee Beng ialah Adun Bentayan