Berita

Kementerian Pengangkutan campur tangan atau pengguna boikot ERL

KUALA LUMPUR 2 DIS: Kementerian Pengangkutan didesak supaya campur tangan dalam isu kenaikan kadar tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau berdepan boikot daripada mereka.

Menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi dan tidak masuk akal serta membebankan rakyat, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata kementerian itu perlu melindungi kepentingan pengguna.

“Kenaikan itu hanya akan mendorong pengguna memboikot perkhidmatan ERL dan menggalakkan lebih ramai penumpang mengambil teksi, bas dan Uber ke lapangan terbang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam, syarikat itu mengumumkan kadar tambang baru bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA dan ke KLIA2 ialah RM55 berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan. Ia menyaksikan kenaikan kadar tambang sebanyak 57 peratus – dari RM35 kepada RM55.

Menyatakan beban kenaikan itu akan lebih dirasai bagi perjalanan sesebuah keluarga, Teresa berkata  keluarga seramai empat orang akan mengalami pertambahan kos sebanyak RM140 hingga RM220 atau RM80 kenaikan bagi satu trip untuk perjalanan sekeluarga lazim di negara ini.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Ketua Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor yang mempertahan kenaikan itu atas alasan penstrukturan tambang baru itu dengan mengambil kira kepentingan pelanggan, sebagai tidak rasional.

“Ia kenaikan besar dan sama sekali bertentangan dengan visi dan misi ERL,” katanya.