Berita

Laporan Bernama dedah bilangan ‘penderma’ RM2.6 bilion?

KUALA LUMPUR 8 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta berhenti berpura-pura mengatakan siasatan berkaitan derma RM2.6 billion masih berjalan sedangkan keputusannya sudah siap.

“Mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik alasan kononnya siasatan masih dijalankan kerana Bernama baru saja menyatakan keputusan siasatan derma RM 2.6 bilion itu sudah siap.

“Namun, agensi berita nasional itu sekadar memberitahu derma itu untuk Umno dan Barisan Nasional tanpa menjelaskan kenapa ia diberi,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Berikutan itu, beliau pada kenyataan media, hari ini mendesak Najib mendedahkan indentiti penderma dan tujuan derma RM2.6 billion berkenaan dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau juga mempersoal bilangan sebenar individu dari Timur Tengah yang menderma RM2.6 bilion itu berikutan laporan Bernama menggunakan ayat: “Para penderma, penderma-penderma dan kenyataan-kenyataan daripada mereka’.

Sebelum ini, Najib menyatakan derma itu sumbangan individu dari Timur Tengah dan bukannya untuknya tetapi bagi keperluan UMNO BN. Ironinya, dana itu tidak ada dalam penyata kewangan 2013 dan 2014

“Terus terang sahaja bahawa wang dalam akaun Najib dideposit oleh individu tertentu kerana si penderma itu memang berniat supaya wang itu masuk ke akaun peribadi Najib. Bukankah senang begitu?” kata Lip Eng.