Berita

‘Berdosa’ kritik jabatan agama punca kebebasan beragama terancam

KUALA LUMPUR 22 DIS: Budaya ‘berdosa’ mengkritik tindak tanduk jabatan agama di negara ini antara sebab tahap kebebasan beragama di Malaysia terancam, kata Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Bukit Bendera, Muhammad Shakir Ameer.

Merujuk Laporan Kebebasan Pemikiran 2015 yang menyenaraikan Malaysia di kedudukan terburuk berkait kebebasan bersuara dan kebebasan beragama, beliau berkata kritikan terhadap jabatan agama bukan kesalahan dan harus dipandang dalam konteks betul.

Shakir Ameer“Yang dikritik bukanlah Islam itu sendiri, tetapi bagaimana jabatan agama yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal Islam menjalankan tugasnya, itu yang kita kritik,” katanya kepada RoketKini, hari ini.

Memberi contoh isu kutipan dan agihan zakat, Muhammad Shakir berkata, penganut Islam berhak memberi saranan mahupun kritikan terhadap jabatan agama aeperti agensi kutipan zakat.

“Kita sebagai orang Islam membayar zakat dan ia disalur kepada agensi untuk diuruskan. Jadi wujud hak bersama jika berlaku kepincangan terhadap urus tadbir zakat. Begitu juga isu lain.

“Ada pelbagai dakwaan terhadap jabatan agama dan ia bukan fitnah sebaliknya ada bukti dengan lengkap dokumen, takkan umat Islam tak boleh kritik jika ada penyelewengan?” katanya.

Mengikut laporan media, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum ini pernah didakwa menyalah guna wang zakat untuk membayar kos guaman badan berkenaan dalam kes mahkamah.

Terbaru, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) yang mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalah guna wang zakat bagi kegunaan kursus perkahwinan di Perancis dan beberapa penyelewengan lain sekalipun dinafikan pentadbiran yayasan berkenaan.