Berita

‘Isu sukan tidak ubah barang sedikitpun pendirian bantah kezaliman Israel’

 

KUALA LUMPUR 27 DIS: DAP Perak hari ini menyuarakan pendirian tegas yang menolak keganasan dan penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, kata Pengerusinya, Nga Kor Ming.

Menegaskan kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin semalam, tidak mewakili parti itu, beliau berkata, DAP Perak sentiasa berdoa supaya kezaliman ke atas rakyat Palestin dihentikan segera.

Tanpa menjejaskan pendirian terhadap Israel, beliau berpendapat Kementerian Belia dan Sukan harus berusaha mencari penyelesaian terbaik supaya atlet tidak dinafi hak bertanding semata-mata kerana kezaliman politik pemerintah negara mereka.

“Dengan mengekal semangat kesukanan yang merentasi batas politik dan agama, namun pada masa sama turut mengekal bantahan dan pendirian tegas terhadap Israel, kami yakin kementerian boleh mencari jalan tengah untuk menyelesaikan masalah sedia ada.

“DAP Perak yakin kompromi profesional untuk dua ahli sukan profesional tidak akan mengubah barang sedikit pun prinsip dan pendirian tegas kita dalam semua isu Palestin-Israel,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Chong Zhemin hari ini menyesali kenyataan medianya berkaitan isu sekatan atlet Israel ke Malaysia disalah erti pihak tertentu, kononnya beliau berpihak kepada Israel.

Ia berikutan kritikan terhadap keputusan Malaysia tidak membenarkan dua altet Israel, dari mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf) itu atas nama semangat kesukanan.