Berita

Elak fahaman melampau isu kaum, agama

KUALA LUMPUR 29 DIS: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Pin tidak mahu wujud sebarang fahaman melampau, gangguan atau salah faham melibatkan agama dan kaum di Malaysia khususnya di Sabah.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan BN supaya memartabat jaminan kebebasan beragama di Sabah yang termeterai pada Batu Sumpah Keningau sebagai jaminan prinsip ketika negeri itu bergabung membentuk Malaysia.

“Semasa ketiga-tiga wilayah iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia, rakyat Sabah dan Sarawak diberi jaminan kebebasan beragama seperti tertakluk dalam perjanjian,” katanya.

Ia berikutan wujud kecenderungan sesebuah negara luar untuk melakukan sekatan tertentu terhadap sambutan perayaan agama lain selain agama rasmi.

Menolak polisi larangan sambutan perayaan menjadi ikutan Malaysia, beliau berharap tidak wujud sebarang sekatan berkaitan amalan kebebasan beragama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kepercayaan dalam agama adalah perkara peribadi. Hak itu sepatutnya dihormati, bukan disekat. Kita juga lihat wilayah Islam seperti Dubai dan Palestin menunjukkan sikap terbuka,” katanya pada kenyataan media hari ini. -Roketkini.com