Berita

BN Abai RUU keselamatan wanita tapi luluskan akta zalim

BUKIT MERTAJAM 30 DIS: Kerajaan UMNO BN lebih sibuk untuk melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang zalim tetapi mengabai usaha membanteras jenayah seksual terhadap wanita secara perundangan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata Akta Pendaftaran Penjenayah Seksual yang dicadang pelbagai pihak termasuk polis sejak 2007, tidak pula diambil berat oleh Kerajaan UMNO BN seperti RUU MKN.

“Setelah sembilan tahun membuat persiapan dan berkali-kali kita dikejutkan dengan jenayah seksual ke atas wanita, kerajaan Persekutuan nampaknya mengambil sikap tidak peduli..

“Kerajaan BN lebih mementingkan undang-undang zalim yang memberi kuasa besar kepada parti pemerintah seperti Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pada sidang Parlimen lalu, Stevan Sim menggesa kerajaan melaksanakan Akta Pendaftaran Penjenayah Seksual ekoran kes jenayah seumpama itu semakin berleluasa tetapi saranan itu tidak diambil endah.

“Cadangan akta itu bukan perkara baru. Ia pertama kalinya dicadang pada 2007 oleh polis dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

“Dari 2007 sehingga kini, setelah kajian demi kajian, perbincangan demi perbincangan, mesyuarat demi mesyuarat, menterinya bertukar lima kali, Ketua Polis Negara bertukar tiga orang, RUU Pendaftaran Penjenayah Seksual masih tidak ada lagi,” katanya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pendedehan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mengenai kejadian rogol yang melibatkan guru tuisyen dan seorang pelajarnya berusia 14 tahun.

Di Malaysia, seorang wanita menjadi mangsa rogol setiap 15 minit dan setiap hari, 100 orang dirogol dan separuh daripada mangsa adalah gadis bawah umur 16 tahun.

Beliau yang kesal proses kelulusan akta itu seolah-olah diperlambat, berkata, kerajaan seakan-akan keliru dalam menetapkan kepentingan dalam melaksanakan undang-undang.

“Bagi wanita di Malaysia, bahaya yang lebih besar dan lebih dekat adalah menjadi mangsa jenayah seksual,” katanya.

Justeru, beliau menggesa agar Perdana Menteri melaksanakan segera Akta Pendaftaran Penjenayah Seksual serta melakukan pembaharuan terhadap sistem perundangan bagi memastikan jenayah seksual diatasi dengan lebih berkesan. – Roketkini.com