Berita

Fasa perjuangan 50 tahun DAP, salah tanggapan dan penyelesaiannya

LIMA puluh tahun lalu, rakyat Malaysia yang berjiwa muda dan idealistik bersatu di bawah Parti Tindakan Demokratik (DAP), bukan kerana mengidamkan faedah keistimewaan, pangkat mahupun kuasa.

Sebaliknya, kerana kepercayaan yang sama terhadap keadilan, kebebasan dan penyatuan nasional dari pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya di negara ini, selain atas kecintaan dan semangat patriotisme terhadap Malaysia

Kerana kita percaya Malaysia mampu untuk menjadi negara yang hebat, seterusnya menjadi contoh kepada dunia sebagai negara yang berjaya dan harmoni.

Kami tidak terfikir yang kami akan bertapak sehingga 50 tahun lamanya.

Perjuangan kami bukan baru berusia sehari tetapi bertahun-tahun lamanya kerana kami komited dalam misi jangka panjang untuk merealisasikan visi negara yang megah berasaskan prisip keadilan, kebebasan, demokrasi, integriti dan pentadbiran yang baik.

Lima dekad sejarah DAP yang genap pada 18 Mac 2016, tarikh parti didaftar, boleh dibahagi kepada empat fasa:

Fasa 1 (1966-1969): Parti ditubuh.

Fasa 2 (1969-1986): Penubuhan sebagai sebuah parti pertama perpaduan seluruh Malaysia(Pan-Malaysian) dengan ahli parlimen yang bukan sahaja diwakili di Semenanjung Malaysia malah di Sarawak dan Sabah.

Fasa 3 (1986-2008): Pengukuhan sebagai sebuah parti utama di Malaysia.

Fasa 4 (2008-2016): Kerajaan campuran di Pulau Pinang dan Selangor (dan setahun di Perak 2008-2009).

Kita harus berpandangan jauh untuk menjadikan ulang tahun ke-50 DAP supaya lebih bermakna dan bermanfaat – untuk membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 melalui Pakatan Harapan.

Kita harus bekerja ke arah fasa kelima parti bermula dengan PRU 14 dengan DAP sebagai sebahagian Pakatan Harapan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Ia harus jadi salah satu daripada tiga objektif DAP pasca ulang tahun ke-50.

Dua lainnya ialah:

– Menepis penipuan dan kepalsuan yang dilempar terhadap DAP terutama berkaitan kononnya anti-Islam dan anti-Melayu.

– Pembangunan dan pertumbuhan berterusan sebagai sebuah parti politik untuk seluruh rakyat Malaysia termasuk arah tuju polisi dan pada setiap tingkat kepimpinan parti dan perwakilan.

DAP perlu meningkatkan usaha bagi menepis tohmahan DAP kononnya anti-Islam dan anti-Melayu kerana ia usaha terdesak UMNO untuk mengelak kekalahan pada PRU 14.

Alat propaganda UMNO bekerja keras untuk menyebar ketakutan kepada orang Melayu dengan mengatakan kaum itu akan kehilangan kuasa jika UMNO tumbang pada PRU 14, dan akibatnya, Islam kononnya bakal menjadi mangsa.

Kedua-duanya adalah salah tanggapani tidak berasas dan berbahaya.

Pertama, kekalahan UMNO pada pilihan raya akan datang kononnya menyebabkan Melayu kehilangan kuasa politik di negara ini. Kedua, kekalahan UMNO kononnya menyebabkan kekalahan Islam di negara ini.

Jika sistem pilihan raya berdasarkan ‘satu pemimpin, satu undi, satu nilai’, UMNO mungkin sudah berada di kerusi pembangkang dan Perdana Menteri kini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya Datuk Seri Najib Razak.

Dan, negara itu tentu terlepas dari pelbagai siri skandal politik dan ekonomi termasuk skandal ‘derma’ RM2.6 bilion Najib, skandal RM55 billion 1MDB yang menyebabkan Malaysia menduduki tempat ketiga negara paling teruk berkaitan rasuah bagi 2015.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula menambah lagi kesusahan rakyat berpendapatan rendah yang sedia ada terhimpit dengan peningkatan kos barangan dan upah yang kian mengecil.

Paling menakutkan, Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merampas kuasa perlembagaan Yang Dipertuan Agong dalam pengisytiharan darurat, kabinet dan kedaulatan 13 negeri di Malaysia.

Sehingga kini, tiada sesiapapun dalam UMNO dan alat propagandanya mampu memberi jawapan memuaskan mengenai persoalan yang dibangkitkan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengenai bagaimana kuasa politik Melayu itu akan hilang jika UMNO kalah.

Jika Pakatan Harapan menawan Putrajaya pada PRU 14, salah satu keutamaannya ialah melakukan yang terbaik berbanding UMNO BN dalam menjaga kepentingan dan hak seluruh rakyat Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan orang Asli.

Ini demikian kerana kita tidak mahu hanya menjadi pemerintah untuk sepenggal sahaja sebaliknya berusaha mendapatkan sokongan dan kepercayaan pengundi untuk terus diberi mandat mentadbir Putrajaya pada pilihan raya berikutnya.

Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan akan bersaing dengan UMNO BN dengan mencatat rekod lebih baik dalam menegakkan ciri-ciri fundamental penubuhan Malaysia dan menjaga kepentingan dan hak semua rakyat, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, orang Asli.

Persoalan orang Melayu atau sebarang komuniti yang bimbang kehilangan hak politik atau Melayu dan Islam yang terancam, semua itu tidak akan berlaku.

Pakatan Harapan akan memastikan kekalahan UMNO sama sekali tidak menjadi ancaman kepada Melayu atau Islam, bahkan semua kaum dan agama di negara ini.

Lim Kit Siang ialah Ketua Parlimen DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah