Berita

Jangan terperangkap dengan hegemoni kaum mainan UMNO

SHAH ALAM 9 JAN: Pengarah Eksekutif Pendidikan Politik DAP, Wan Hamidi Hamid mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak terperangkap dengan hegemoni kaum dengan mengulanginya sepanjang perjuangan menuju Putrajaya.

Jika pemimpin gabungan ketiga-tiga parti itu terperangkap dalam permainan politik perkauman yang dimainkan UMNO, beliau bimbang ia bakal memberi tanggapan salah di mata rakyat terhadap Pakatan Harapan.

“Benar UMNO sering menyerang kita tapi kita tidak harus ambil pendekatan sama. Jika tidak rakyat akan mengatakan kita tidak ubah seperti BN,” katanya.

Wan Hamidi juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, DZulkefly Ahmad supaya calon DAP yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan logo Amanah atau PKR dan menyifatkannya seolah-olah mengikut tindak tanduk BN.

“Eloklah soal itu, biar diputuskan kepimpinan Pakatan Harapan kerana kita tidak mahu mengulangi hegemoni UMNO iaitu Melayu jaga Melayu, India jaga India, Cina jaga Cina dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly mencadangkan calon DAP yang bertanding peringkat DUN tidak menggunakan logo DAP bagi meraih undi masyarakat Melayu-Islam berikutan parti itu kerap difitnah sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, sebaliknya menggunakan logo Amanah atau PKR.

Pada sidang media membabitkan pimpinan utama Pakatan Harapan kemudiannya, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyatakan semua perwakilan diberi kebebasan untuk bercakap tetapi beliau mengulangi jaminan Amanah tidak akan terperangkap dengan politik perkauman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media sama juga bersetuju Dzulkefly memiliki kebebasan untuk menyatakan cadangan tetapi pandangannya itu tidak mencerminkan pendirian Pakatan Harapan.

Selain itu, Wan Hamidi berkata, pemimpin Pakatan Harapan harus dilihat mesra rakyat bagi memberi gambaran sebenar berikutan faktor persepsi atau tanggapan penting dalam politik berikutan ia sering diputar belit media pro-UMNO BN,

“Walaupun kita yakin kita berniat baik, jika ia mudah dipesongkan media, ia bakal mengubah persepsi rakyat. Jadi, pimpinan kita perlu dilihat lebih rendah hati, suaaya kita tidak dituduh berlagak dan sombong,” katanya ketika berucap pada perbahasan Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan, hari ini.

Beliau antara tiga perwakilan DAP daripada sembilan perwakilan yang berucap pada persidangan itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).