Berita

Pakatan Harapan mahu Anwar sebagai PM jika tawan Putrajaya

 

SHAH ALAM 9 JAN: Ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Harapan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merengkuk di penjara atas tuduhan, sebagai Perdana Menteri baru apabila menawan Putrajaya, kelak.

“Kita tetap sokong Anwar sebagai PM apabila kita menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ucapatamanya pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini membuat ketetapan Anwar sebagai Perdana Menteri jika menang PRU 13 tetapi PAS sebelum ini ada ura-ura untuk memilih Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon alternatif bagi jawatan itu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pada ucaptama program berkenaan juga menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan tidak bercadang menggantikannya dengan individu lain.

“Jangan risau, kita tak cari calon lain baik Gua Musang mahupun Pagoh,” katanya sedikit berseloroh dengan merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya kebelakangan ini bernada spektikal terhadap pimpinan UMNO BN.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail pula menyambut baik sokongan pimpinan DAP dan Amanah serta mengajak semua pihak berusaha mendesak Kerajaan Persekutuan untuk membebaskan Anwar dari penjara.