Berita

Pimpinan Pakatan Harapan elak polemik politik & tumpu isu rakyat

KUALA LUMPUR 11 JAN: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan meminta semua pimpinan Pakatan Harapan tidak terjebak dalam polemik politik yang tidak berkesudahan kerana ia hanya akan mengalihkan perhatian dari isu pemborosan UMNO BN dan kesusahan hidup rakyat.

Mengikut kenyataan media, Majlis Setiausaha itu bimbang polemik politik berlebihan tidak disenangi rakyat u sekaligus memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk kekal berkuasa.

Ia dibuat susulan beberapa kenyataan PAS sejurus berlangsungnya Ijtima’ Pilihan raya PAS Selangor semalam yang didapati menjurus kepada parti gabungan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Majlis Setiausaha berpendapat misi paling utama ialah menumpu perhatian terhadap isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar pentadbiran Najib.

“Perkara paling penting dalam negara ini ialah menghentikan kemudaratan kepada rakyat akibat dari pentadbiran Najib, bagi meringankan beban rakyat,” katanya kenyataan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Amanah, Mohamad Anuar Tahir.

Apatah lagi, beberapa peristiwa penting yang membawa kesan besar kepada rakyat bakal berlaku iaitu proses semakan semula Bajet Kerajaan Persekutuan yang terpaksa dibentang semula berikutan unjuran pendapatan tidak mampu menampung perbelanjaan.

Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dijangka membawa kesan besar kepada rakyat.