Berita

Penjenamaan BTN untuk cipta propaganda baru semai perkauman

KUALA LUMPUR 14 JAN: Penjenamaan semula Biro Tata Negera (BTN) hanya untuk penyusunan semula skrip baru bagi memberi bantuan hayat kepada UMNO yang semakin ditolak segenap lapisan rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata ia berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu menyaksikan 52 peratus pengundi menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, BTN dimanipulasi UMNO untuk menyemai kebencian, bukan mengukuhkan jati diri sebagai warganegara bermaruah, sekaligus menyimpang dan bias demi menjayakan serakah UMNO bagi mengekalkan kuasa.

Beliau berkata, BTN terbukti menjadi alatĀ UMNO dalam merealisasi agenda pengekalan kuasa atas nama patriotisme, sedangkan hakikatnya untuk menjadi alat menyerang pemimpin pembangkang.

“UMNO terdesak untuk mencipta propaganda baru setelah landskap politik negara berubah dengan kemunculan pakatan baru pembangkang selepas gagal menangani skandal besar yang meletakkan Malaysia negara ketiga paling korup di dunia.

“Setelah pelbagai skandal dipalitkan ke atas Najib, kita khuatir penjenamaan BTN bakal menyaksikan satu lagi pembaziran dan penyalahgunaan dana awam,” katanya kepada Roketkini.

Jika penjenamaan BTN diteruskan, Sheikh Omar berkata, ia tidak lebih sekadar menjadi wadah yang mendedahkan wajah sebenar UMNO yang gagal mengurus tadbir negara.

“Malaysia perlu diselamatkan dengan perpaduan rakyat yang utuh tanpa mengira kaum, bukan menyemarak lagi kebencian sesama rakyat atas nama perkauman sempit,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia itu yakin anak muda menyedari situasi itu, sebagaimana beliau dan rakannya melakukan protes dari dalam ketika hadir sesi BTN pada 2000 semasa masih mahasiswa.

“Dahulu saya dan beberapa rakan memprotes doktrin menyimpang semasa BTN dijalankan ke atas diri kami, saya yakin kali ini lebih ramai anak muda lain sedar dan bangkit.

“Lagi mereka dipaksa untuk menerima indoktrinisasi songsang menerusi BTN, lagi kuat mereka akan menolak UMNO,” kata bekas aktivis Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) itu. -Roketkini.com