Berita

Tuduh bilangan Melayu kurang tapi halang, ancam sertai DAP

KUALA LUMPUR 15 JAN: Seorang pemimpin Melayu dalam DAP membidas pimpinan UMNO mahupun Perkasa yang mempertikai keahlian kaum itu dalam parti berkenaan tetapi pada masa sama menghalang mereka menyertainya.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Arif Sabri kesal berikutan orang Melayu yang menyertai DAP sering ditohmah dengan pelbagai kutukan tetapi parti itu dikecam apabila jumlah mereka kecil, malah difitnah tidak ‘meraikan’ orang Melayu.

“Bagaimana untuk mendapatkan keahlian 30 peratus orang Melayu jika mereka dihalang dengan ugutan dan fitnah? Tambah menghairankan, ada pula suara sumbang mengatakan Melayu kurang dalam DAP.

“Sepatutnya anda (UMNO dan Perkasa) menggalakkan lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, bukan menghalang mereka,” katanya pada blognya, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini yang menuduh DAP kononnya mengamal perkauman apabila mempersoal peratusan pemimpin Melayu dalam jawatankuasa tertinggi parti itu.

Mohd Ariff berkata, DAP tidak memperuntuk kuota kaum untuk sebarang jawatan termasuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya calon terpilih menjadi ahli jawatankuasa itu  jika dapat menyakinkan perwakilan melalui kepimpinan baik dan profesional.

“Saya mahu tegaskan ahli Melayu dalam DAP bukanlah pengemis untuk disuap dengan jawatan,” katanya.

Dalam isu berkaitan, beliau berkata, perjanjian antara pemimpin parti dalam Pakatan Harapan Sabtu lalu turut menyaksikan penegasan semula DAP bukan parti perkauman seperti yang dimomok media arus perdana.

“Hakikatnya, DAP sejak penubuhannya mempertahan Perlembagaan Persekutuan, menerima Islam sebagai agama persekutuan tetapi memberi kebebasan kepada agama lain untuk dipraktik.

“Pengisytiharan Perjanjian Pakatan Harapan sekaligus menempelak dan melenyapkan segala momokan dan fitnah jahat yang mentohmah DAP sebagai anti-Melayu, anti-raja dan anti-agama,” katanya.