Berita

Kebimbangan Salleh Keruak buktikan potensi Melayu dalam DAP

KUALA LUMPUR 18 JAN: Tokoh akademik, Dr Aziz Bari menyifatkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak berkaitan orang Melayu dalam DAP, membuktikan kejayaan parti itu meraih sokongan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

“Bila seorang menteri UMNO sendiri yang keluarkan kenyataan begitu, secara tidak langsung dia (Salleh) akui kekuatan DAP.

“Sebab itu, DAP diserang dalam media arus perdana kerana masyarakat pelbagai kaum khususnya Melayu memang ada potensi besar dalam DAP,” katanya kepada Roketkini, dan percaya Salleh tidak akan membuat kenyataan seumpama itu jika orang Melayu tiada potensi dalam DAP.

Salleh pada tulisan di blognya yang kemudian dipetik portal berita tempatan, menuduh usaha DAP meletak lebih ramai calon Melayu tidak mengubah hakikat  kononnya ia sebuah parti berasaskan kaum Cina.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar UMNO untuk membuka keahlian kepada semua kaum di Malaysia, mengulangi seruan pengasas parti pemerintah itu, Datuk Onn Jaafar, 66 tahun lalu.

“Salleh perlu belajar untuk jadi pemimpin Malaysia, bukannya terperangkap dalam kerangka perkauman yang menghalang pembentukan identiti Malaysia yang holistik.

“Adakah Salleh hanya menteri untuk orang Melayu atau menteri untuk semua?” kata Kit Siang yang menyifatkan menteri itu sepatutnya menyokong usaha DAP mendapatkan lebih banyak sokongan dari masyarakat Melayu, Dayak, Kadazan-Dusun-Murut dan orang Asli.

Naib Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri pula, berkata UMNO dalam ketakutan dengan fenomena penerimaan masyarakat pelbagai kaum khususnya orang Melayu-Islam terhadap DAP.

“Salleh kena faham konteks DAP dan bukan bercakap dalam kerangka perkauman Umno. Jika di Sabah dan Sarawak, ahli DAP majoritinya dari kalangan Dayak dan Kadazan-Dusun-Murut, DAP di sana akan jadi ‘Parti Dayak?’ katanya.