Berita

Najib patut tumpu pengubahsuaian Bajet 2016, tangguh bahas TPPA

KUALA LUMPUR 18 JAN: DAP mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  menangguh perbahasan dan sesi undian berkaitan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) di Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata Najib harus membentang pengubahsuaian kepada Bajet 2016 pada tarikh itu supaya pelan kewangan kerajaan disemak, peruntukan dana kepada kementerian diteliti sekaligus memastikan masalah rakyat ditangani.

“Penelitian penting bagi memastikan ia tidak ‘mengorbankan’ kepentingan rakyat seperti pada pembentangan bajet Disember lalu. Contohnya, peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah RM20.3 billion sedangkan peruntukan Kementerian Kesihatan hanya RM300 juta.

“Kita boleh desak agar peruntukan JPM itu dipotong,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Kerajaan Persekutuan menjadual sesi perbahasan dan sesi undian berbentuk ‘Ya-Tidak’ berhubung pemeteraian TPPA di Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini manakala pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari.

Sebaliknya, Charles berkata, Ahli Parlimen dan pihak berkaitan memerlukan lebih masa untuk mengkaji kesan TPPA kepada negara lantaran dokumen 6,000 halaman itu melibatkan rujukan teknikal dan pelbagai isu kompleks.

“Setiap bab berkaitan antara satu sama lain, justeru penting memahami semuanya bagi memahami keseluruhan perjanjian. Misalnya, kita perlu membaca tujuh bab untuk memahami hak harta intelek mengenai perubatan,” katanya.                                                                                                                

Penjelasan dua tiga jam berkaitan TPPA kepada Ahli Parlimen, katanya, tidak mencukupi untuk sesi perbahasan melibatkan kepentingan rakyat, apatah lagi terlalu sedikit analisis akademik dan undang-undang berkaitan perjanjian itu.

Malah, kata Charles, keraguan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada terhadap TPPA semakin meningkat dan kedua-dua negara mungkin tidak memenuhi tarikh akhir penandatanganan perjanjian pada 4 Februari di New Zealand.

Di AS, katanya keadaan lebih rumit apabila senator dan ahli kongres mungkin menunda perbahasan mengenai TPPA kepada tarikh selepas pemilihan jawatan Presiden pada November ini kerana kedua-dua calon presiden membantah perjanjian itu.

Katanya, Kanada juga dilapor media sebagai belum memberi kata putus untuk menghadiri upacara memeterai perjanjian itu dan mahu menubuhkan jawatankuasa terpilih Parlimen untuk mengkajinya lebih mendalam.