Berita

Pengubahsuaian Bajet 2016 perlu tambahan peruntukan Sabah

LIKAS 19 JAN: Pengubahsuaian Bajet 2016 harus menambah nilai peruntukan kepada Sabah khususnya dari segi pembangunan berikutan negeri itu jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Junz Wong berkata, peruntukan untuk Sabah tidak harus dikurangkan kerana negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan di serata kawasan yang serba-serbi kekurangan.

“Memandangkan pendapatan minyak dan gas berkurangan secara drastik, bayaran royalti minyak tahunan sebanyak lima peratus kepada Sabah juga berkurang, bermakna 25 peratus bajet negeri akan terjejas,” kata Setiausaha DAP Sabah itu.

Pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 dijadual berlangsung pada 28 Januari ini di Parlimen berikutan kesilapan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terhadap turun naik harga komoditi dunia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong mempertikai Bajet 2016 berikutan hanya 10.9 peratus dari keseluruhan nilai bajet itu diperuntuk kepada Sabah dan Sarawak.

Peratusan itu bersamaan dengan RM29.2 bilion apabila dibahagi dua, bermakna hanya lima hingga enam peratus sahaja diterima salah sebuah negeri, sekaligus menunjukkan Kerajaan BN mengabai pembangunan di kedua-dua negeri itu.

Peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pula dikecilkan kepada RM425 juta berbanding RM432 juta tahun lalu, malah peruntukan bagi pembinaan jalan raya dikurangkan dari RM70 juta kepada RM20 juta.

Junz Wong berkata, Kerajaan Persekutuan juga harus memastikan pengubahsuaian itu juga tidak menambah beban perbelanjaan sedia ada dan taraf hidup kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

“Perbelanjaan operasi dibentang dalam bajet lalu terlalu tinggi. Jika kerajaan benar-benar mahu ia diubah suai supaya lebih cekap dan efektif, mereka mesti mengurangkannya.

“Ia tidak bermakna saiz perkhidmatan awam dikecilkan tetapi kerajaan perlu memikirkan satu sistem awam yang lebih sofistikated supaya ia berperanan dengan berkesan,” katanya. -Roketkini.com