Berita

JAS digesa siasat pencemaran sungai punca puluhan ikan mati

KUALA LUMPUR 20 JAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa menyiasat punca kematian berpuluh-puluh ikan sepanjang Sungai Klang secara mendalam kerana ia melibatkan sumber makanan rakyat.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming pada kenyataan media hari ini, bimbang ia berpunca akibat pencemaran serius di sekitar hulu Sungai Gombak berdekatan Kampung Pauh dekat sini.

“Ramai penduduk makan dan menjual ikan tangkapan di situ. Malah, hampir setiap hari ramai nelayan dan pemancing menggunakan joran dan jaring untuk menangkap ikan dan menjualnya di pasar,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengadakan ekspedisi berbasikal bagi meninjau perkembangan projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life – ROL) oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan melibatkan pembersihan, pengindahan sungai dan kemajuan tanah.

Beliau turut mengadakan ekspedisi berkayak di Sungai Gombak dan Klang bagi memastikan projek itu berjalan seperti dijanjikan kerajaan Persekutuan walaupun air kedua-dua sungai itu dikategori sebagai Kelas III hingga V iaitu sangat tercemar.

Menyatakan sebahagian penduduk kampung terpaksa berpindah berikutan projek itu, Kian Ming yang juga Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP berkata, projek melibatkan RM4.4 bilion itu dengan RM3.4 bilion daripadanya diperuntuk kepada pembersihan sungai.

“Jika tiada usaha memantau tahap pencemaran di kedua-dua sungai itu hingga terjadi keracunan ikan iaitu sumber makanan penduduk tempatan, ia bermakna wang rakyat dibazirkan,” katanya. -Roketkini.com