Berita

Adun Ketari hulur sumbangan baiki surau Felda Mempaga Satu

BENTONG 23 JAN: Keprihatinan pimpinan DAP terhadap kesusahan rakyat tanpa mengira kaum dan agama terserlah dengan sumbangan kepada penduduk Felda Mempaga Satu dekat sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Lee Chin Chen yang menyampaikan sumbangan itu berkata, ia diberi selepas mendengar rintihan pendudukyang mahukan surau berusia hampir 20 tahun di kawasan itu dibaik pulih.

“Sebelum ini, mereka terpaksa kumpul dana sendiri daripada penduduk kampung untuk baik pulih atap yang sudah bocor dan dinding papan yang diserang anai-anai,” katanya kepada Roketkini.

Malah, Setiausaha Organisasi DAPSY Kebangsaan itu berkata, ada aduan penduduk setempat yang mendakwa pihak bertanggungjawab seolah-olah tidak menghiraukan kesusahan yang ditanggung mereka.

Justeru, kata Setiausaha DAP Pahang itu, sumbangan hasil usaha sama Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin itu diharap dapat memberi keselesaan kepada penduduk felda berkenaan untuk beribadah.