Rencana

Bersatu melawan kuasa ekstremis dan perkauman

RAKYAT Malaysia yang mencintai keamanan dan kesederhanaan perlu bersatu padu melawan segala kuasa ekstremis dan perkauman yang bertujuan memburuk-burukkan bukan Muslim dan bukan Melayu melalui kebencian, ketakutan dan penipuan.

Dasar pecah perintah BN bukan sahaja merenggangkan hubungan sesama rakyat tetapi juga meningkatkan permusuhan akibat kerelaan mempercayai penipuan itu atau keburukan antara satu sama lain. Sangat mengecewakan apabila dasar rasis dan ekstremis BN itu diterima pakai sebuah parti pembangkang bagi memuntahkan segala penipuan, ketakutan dan kebencian menentang bukan-Muslim dan komuniti Cina.

Kebencian ditunjukkan kepada bukan Melayu itu boleh dilihat di beberapa sekolah kebangsaan apabila kanak-kanak bukan Muslim tidak dibenarkan makan secara terbuka semasa bulan suci Ramadan.

Malah, seorang kolumnis di New Straits Times mengeluh kanak-kanak Muslim kurang percaya dan enggan berinteraksi secara normal dengan kanak-kanak bukan Muslim di sekolah. Lalu, tidak hairanlah apabila semakin kurang ibu bapa bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Betapa seriusnya permusuhan kaum itu boleh dilihat melalui sebuah insiden melibatkan seorang doktor perempuan berketurunan India di Taiping. Beliau mahu membantu seorang lelaki tua Melayu yang tercedera akibat jatuh  motosikal.

Namun, beliau kemudian dihina dengan kenyataan rasis: “Keling jangan bantu atau sentuh saya”. Hanya selepas lelaki tua Melayu itu mendapat tahu bahawa dia seorang doktor, barulah kembali senyum dan berkata “Doktor boleh sentuh”.

Perkara itu bukan sahaja mengejutkan tetapi menunjukkan bagaimana ideologi perkauman dan ekstremis mengakibatkan permulaan menyedihkan penyahmanusiaan bukan-Melayu dan bukan-Muslim seperti mereka ‘lebih’  Malaysia. Inilah sebab mengapa nasib Indira Gandhi tidak diberi perhatian selayaknya.

Kisah Indira tidak harus dilihat semata-mata dari perspektif agama tetapi juga dari segi haknya sebagai seorang ibu, mahu bersatu semula dengan anak perempuannya yang dirampas tujuh tahun lalu ketika masih anak kecil berusia 11 bulan.

Atas sebab inilah, sewaktu setiap keluarga bersatu semula bagi menyambut Thaipusam, kita tidak harus melupakan mereka yang dipaksa berjauhan daripada keluarga. DAP melahirkan rasa simpati terhadap Indira, seorang ibu yang dinafi hak penjagaan anaknya. Selamat Menyambut Hari Thaipusam!

 

Lim Guan Eng ialah Ketua Menteri Pulau Pinang. Kenyataan ini sempena sambutan Hari Thaipusam.