Berita

TPPA: Guan Eng anggap hari pahit buat rakyat Malaysia

GEORGETOWN 28 JAN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai hari yang pahit untuk semua rakyat Malaysia.

Memetik Buletin Mutiara, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO BN perlu bertanggungjawab, sekiranya TPPA memberi kesan berantai yang baru kepada rakyat terbanyak kelak.

“Saya rasa ini satu hari yang pahit untuk ramai (orang) di Malaysia, khususnya kepada rakyat biasa yang akan menanggung kesannya.

“Sekiranya harga ubat naik umpamanya, saya harap semua rakyat ingat bahawa ini kerana TPPA, kesan ini BN kena tanggung,” kata Ahli Parlimen Bagan itu pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Melalui proses undian secara blok, 127 Ahli Parlimen BN menyokong usul tersebut, manakala 84 lain menolak. Majoriti, 43 undi sahaja.

Kira-kira 30 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan isu tersebut, dalam sidang khas selama dua hari mulai 26 Januari.

Dalam ucapan penggulungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor memberi alasan kononnya, TPPA tidak akan memberi kesan kepada majoriti sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkali-kali menyatakan pendirian tegas partinya untuk membantah TPPA, sungguhpun Kerajaan Negeri Pulau Pinang digambarkan seakan pro pada perjanjian tersebut. -Roketkini.com